RANAU: Seorang lagi wanita tempatan menjadi mangsa ketujuh sejak bulan Januari 2022 lalu yang mengalami kecederaan ketika mendaki Gunung Kinabalu akibat suhu sejuk melampau yang kini berlaku di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.18 pagi Rabu di kilometer 6.2 ketika mangsa berusia 40 tahun itu sedang mendaki menuju ke puncak.
Beliau berkata, keadaan di Gunung Kinabalu kali ini sangat sejuk menyebabkan beberapa kes sudah berlaku untuk bulan ini sahaja, dan untuk kejadian terbaru, mangsa tidakpun sempat sampai ke puncak sebelum tercedera.
“Dilaporkan seorang mangsa wanita warganegara Malaysia mengalami kekejangan otot dan kesejukan melampau. Pegawai Bomba Bantuan PBB Mencari dan Menyelamat Gunung (MoSAR) menyediakan rawatan bantuan oksigen awal dan memastikan suhu badan mangsa kembali normal kemudian mengusungnya menggunakan Stretcher Robinson hingga ke Timpohon Gate.
“Operasi menyelamat diketuai Pegawai Operasi, PBK II Becket Gumat. Seterusnya, Pasukan EMRS Ranau membawa mangsa ke Hospital Ranau. Operasi tamat pada jam 4.05 petang,” katanya.
Ridwan mengulangi nasihatnya kepada bakal pendaki untuk membuat penilaian kesihatan diri sebelum mendaki Gunung Kinabalu. Beliau berkata perlu ada persiapan mental dan fizikal, dan hanya bawa barang yang sesuai dan perlu sahaja.
Beliau turut menasihatkan pendaki ke Gunung Kinabalu supaya lebih berhati-hati semasa musim hujan kerana permukaan tanah dan batuan lebih licin berbanding cuaca biasa.
“Sentiasa mendaki dalam kumpulan, jangan berjalan bersendirian dan pastikan anda memberi perhatian kepada nasihat Guide. Ini amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.
TAMAT
1 – Kakitangan PBB MOSAR mengusung mangsa turun semula ke Pintu Timpohon sebelum dibawa ke Hospital Ranau
2 – Cuaca sejuk yang melampau memaksa mangsa (kanan) membatalkan niatnya untuk mendaki Gunung Kinabalu selepas mengalami kecederaan