Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
“Bagi tahun 2019, statistik kemalangan di daerah ini telah menurun sebanyak enam (6) kes secara keseluruhannya iaitu mencatat 13 kes sahaja dan tiada kemalangan maut”
-DSP SAMMY NEWTON-
RANAU: Usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian dalam kalangan pengguna jalan raya khusunya di daerah ini berhasil apabila statistik menunjukkan penurunan pada tahun 2019 berbanding 2018.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, berkata, berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ranau, sepanjang ‘OP Selamat’ Tahun Baru Cina 2018 dan 2019, sebanyak 19 kes kemalangan, tiga (3) kes maut, dan selebihnya adalah kes kemalangan biasa telah dicatatkan pada tahun 2018.

“Manakala Bagi tahun 2019, statistik kemalangan di daerah ini telah menurun sebanyak enam (6) kes secara keseluruhannya iaitu mencatat 13 kes sahaja dan tiada kemalangan maut.
“Walaupun statistik menunjukkan jumlah penurunan kes, kesedaran pentingnya keselamatan di jalan raya masih perlu dipertingkatkan,” katanya kepada media selepas Kempen Pelancaran ‘OP Selamat 16/2020 Peringkat Daerah Ranau’ di sini pada Rabu.

DSP Sammy juga mengingatkan para pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu di empat (4) lokasi titik panas (hotspot) atau kawasan kerap berlaku kemalangan di daerah ini.
Jelasnya, empat lokasi hotspot atau kawasan telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan yang meragut nyawa, iaitu di Kilometer (KM)1-30 (Ranau-Telupid), KM1-22 (Jalan Ranau-Tampaluri), KM 1- KM7 (Jalan Ranau – Tambunan) dan Jalan Ranau-Kota Marudu di KM6, Jalan Bongkud.

“Kawasan tersebut sering berlaku kemalangan dan meminta pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.
“Bersempena dengan cuti sekolah dan cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini, jumlah kenderaan yang melalui jalan di daerah Ranau akan meningkat berbanding hari-hari biasa.
“Saya menyeru kepada semua pengguna jalanraya agar mengamalkan pemanduan secara berhemah, merancang perjalanan bagi mengelak memandu dalam keadaan tergesa-gesa selain memastikan kenderaan diselenggara dan sentiasa dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Beliau juga menasihati pemandu supaya mengelak kesalahan seperti memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong dalam keadaan merbahaya dan memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya.
“Perlaksanaan penguatkuasaan berkala dan rondaan di kawasan ‘blackspot’ serta kempen keselamatan masih dijalankan tahun ini kerana ia telah menunjukan keberkesenan pengurangan kadar kemalangan jalanraya di daerah Ranau,” jelas beliau.

Beliau juga turut mengingatkan orang ramai untuk mengisi Borang Maklumat Balik Kampung yang telah dimuatnaik di aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), di ‘App Store dan Google Playstore’, bagi tujuan membendung kegiatan jenayah ketika pulang menyambut perayaan di kampung.
“Borang ini juga boleh didapati di balai-balai berhampiran. Manfaatkan kemudahan ini untuk membantu pelaksanaan polis membuat rondaan di kediaman atau premis yang ditinggalkan terutama sepanjang perayaan,” kataya.
Terdahulu pada program itu, DSP Sammy bersama para pegawai kanan dan anggota polis IPD Ranau telah mengagihkan sebanyak 30 ‘goodies’ kepada para pengguna jalanraya sambil mengingatkan mereka agar sentiasa berhati-hati
serta mematuhi undang-undang jalan raya ketika memandu pulang ke kampung.- TAMAT–
