Terence menyerahkan borang keahlian baru STAR kepada Presiden Parti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
KIULU: Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bahagian Kiulu terus mendapat sambutan apabila seramai 520 borang keahlian baru diterima dalam majlis Himpunan Solidariti Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di dewan terbuka pekan Kiulu baru-baru ini.
Menurut Ketua Bahagian STAR Kiulu Terence Sinti, kemasukan ahli-ahli baru ini melibatkan 16 Cawangan Jawatankuasa Penyelaras Kawasan (JPK) Parti STAR yang baru.
Katanya, kemasukan ahli baru ini membuktikan bahawa STAR Kiulu masih kekal relevan sebagai sebuah parti pilihan untuk membawa suara rakyat.
Majlis Himpunan Solidariti Pemimpin Bersama Rakyat anjuran STAR Kiulu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah merangkap Presiden STARSABAH Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Terence yang juga pengerusi penganjur program dalam ucapannya menyatakan sokongan penuh kepada PBS yang akan mempertahankan kerusi DUN Kiulu mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihanraya Negeri akan datang.
“Kerjasama dan solidariti dikalangan rakan-rakan komponen dalam GRS Kiulu akan memperkukuhkan lagi kekuatan dan menjamin kemenangan GRS. Kita STAR akan turun padang dan berkempen habis-habisan untuk membantu PBS dan seterusnya mencapai kemenangan dalam pilihanraya nanti” jelasnya.
Himpunan Solidariti ini dihadiri sekitar 1000 orang ini diserikan dengan pelbagai acara menarik, antaranya persembahan tarian singa, persembahan artis tempatan, cabutan tiket bertuah dan persembahan kebudayaan.
Turut diadakan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada warga emas dan pemberian bibit buah-buahan secara percuma kepada orang ramai.
Turut hadir Senator Edward Linggu yang juga Setiausaha Agung STARSABAH, Ketua Bahagian PBS Kiulu Datuk Jonisthon Bangkuai, Pengarah Komunikasi STARSABAH Datuk Jalumin Bayogoh, Bendahari Agung GRS Ardino Diris, Presiden Lion Club Tuaran Kapitan Frankie Goh dan pemimpin-pemimpin STAR seluruh Sabah.



