SUASANA…Suasana ketika lawatan tapak sedang berlangsung
KOTA KINABALU : Stadium Likas kini bersedia menjadi lokasi penganjuran SEA Youth Athletics Championship Ke-16.
Menurut Pengerusi Penganjur, John Ayavu, kebanyakan persiapan dari segi fasiliti di stadium berkenaan siap dan bersedia untuk digunakan dalam kejohanan yang akan berlangsung selama tiga hari mulai Khamis ini.
“Pada hari ini kita finalize beberapa perkara dari segi fasiliti dan boleh dikatakan 90 peratus sedia, hanya beberapa persediaan terakhir atau final touch yang perlu diberi perhatian.
“Kita pun berpuas hati melihat persediaan awal yang dibuat dan ini membolehkan kita melaksanakan kejohanan ini tanpa apa-apa masalah.
“Setakat ini 11 negara mengambil bahagian dengan 200 hingga 300 atlet dan juga melibatkan 110 pegawai teknikal yang mana 50 peratus daripadanya adalah dari Sabah.
“Ini merupakan satu peluang yang baik untuk pegawai teknikal itu mengambil bahagian dalam acara internasional,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan tapak kejohanan di Stadium Likas, pada Isnin.
John berharap agar kejohanan tersebut akan mendapat sokongan daripada orang ramai terutamanya rakyat Sabah.
“Sokonglah sebab atlet yang datang ini daripada Negara ASEAN dan sukan ini pun merupakan sukan persahabatan negara-negara ASEAN.
“Dengan adanya sukan ini memberi peluang kepada rakyat Sabah terutama yang berada di sekitar Kota Kinabalu untuk melihat kejohanan bertaraf dunia,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan dan kerjasama dalam penganjuran pada kali ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Adnan @ Adenan Atin, Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Tarrence Edward Pudin, Perwakilan Penganjur, Datuk R. Amnamalai dan Perwakilan Teknikal, Padmanathan Nagappan. –Penerangan–