27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SMK Rancha-Rancha Naib Johan Anugerah Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021

NAIB JOHAN…Pengetua SMK Rancha-Rancha, Wan Azman (kiri) dan Sapri (empat kanan) bersama mantan Pengarah JPN Labuan, Raisin Saidin (tiga kiri) dan Ketua Penolong Pengarah SSTP Labuan, Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman (dua kiri) serta Pengawai SSTP Labuan.

LABUAN: SMK Rancha-Rancha  mencipta sejarah untuk Jabatan Pendidikan Labuan atas kejayaan muncul Naib Johan Pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021 sempena Majlis Digital Utilisation and Technology Awards 2021 (DUTA) yang diadakan di Bukit Kiara, baru-baru ini.

Dengan kejayaan itu, SMK Rancha-Rancha membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500 dan trofi.

Program anjuran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan BSTP Kementerian Pendidikan Malaysia itu telah dirasmikan oleh  Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin.

Johan bagi pertandingan itu dimenangi  oleh SMK Agama Miri Sarawak, naib johan SMK Rancha-Rancha, ketiga SMK Batu Rakit Terengganu, keempat SMK Tawau Sabah dan kelima SMK Tunku Mahmood Iskandar Johor.

KENANGAN…Semua pemenang setiap kategori Majlis Digital Utilisation and Technology Awards 2021 bergambar kenangan.

Sebanyak `13 buah sekolah yang mewakili setiap negeri menyertai pertandingan itu  yang turut menyaksikan SMK Rancha-Rancha melayakan diri sebagai 5 sekolah  terbaik.

Anugerah Pusat Sumber Sekolah  merupakan pengiktirafan dan penghargaan khususnya kepada Guru Perpustakaan dan Media atas kecemerlangan melaksanakan pengurusan PSS dengan memberi penekanan kepada pendidikan digital.

Pemberian pengiktirafan dalam bentuk anugerah kecemerlangan ini merupakan satu manifestasi keprihatinan KPM dan kerajaan dalam menyokong kualiti pengajaran dan pembelajaran, kemenjadian guru serta murid, pembangunan bakat dan modal insan serta memupuk budaya inovasi yang berterusan.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman Wan Awang  menzahirkan rasa syukur atas kejayaan  yang dicapai.

“Alhamdulillah, semoga kejayaan yang dicapai akan menguatkan semangat  sekolah ini  untuk terus mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan” katanya.

Beliau berkata, pembangunan bakat dan modal insan dalam ekonomi digital memerlukan persiapan generasi murid kalis masa hadapan yang fasih digital dan berupaya menghadapi apa jua cabaran di era teknologi disruptif.

“Budaya inovasi dalam kalangan murid perlu dipupuk agar mereka bersedia untuk mendepani perubahan sejajar perkembangan teknologi global,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN