25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SMK Rancha-Rancha cipta Isyarat Pintar Penjarakan Sosial kekang Covid-19. Oleh: Jainudin Djimin

INOVASI….Haji Abd Razak (kanan sekali) memuji inovasi yang dihasilkan. Turut kelihatan Yahya (kiri) dan Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan, Abd Rahman Ahmad.

LABUAN:Pandemik Covid-19 telah mengubah cara penjagaan kesihatan dalam kalangan penduduk di negara ini, malah lebih luas lagi, ia telah membuatkan banyak institusi mencari alternatif untuk menjamin kebersihan dan keselamatan menusia sejagat.

Sehubungan itu Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah membuat inovasi Isyarat Pintar Penjarakan Sosial.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Yahya Ahmad Puteh berkata, inovasi yang dibuat oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha adalah bertepatan dengan masalah yang melanda ketika ini.

“Soal keselamatan dan pematuhan penjarakan sosial sangat diberi keutamaan oleh SMK Rancha-Rancha demi kemaslahatan warganya,”katanya.

Guru Perpustakaan dan Media sekolah, Cikgu Sapri Idris mengambil inisiatif atas cadangan dan saranan oleh pengetua untuk mengekalkan perkhidmatan pusat sumber sekolah kepada warganya tanpa memberhentikan perkhidmatan yang ditawarkan ketika pembukaan sekolah norma baharu.

Isyarat Pintar Penjarakan Sosial dapat menjamin penjarakan dalam kalangan pelajar dan pengguna perkhidmatan ketika berada di pusat sumber sekolah.
Melalui inovasi ini, keberadaan pengguna pusat sumber adalah dikawal melalui setiap warna.

Untuk warna hijau, jumlah pelajar yang berada di dalam pusat sumber adalah dalam bilangan 20 orang sahaja.

Warna biru pula adalah sebanyak 3 hingga 5 orang sahaja yang boleh masuk dan warna merah memberi makluman kapasiti pengguna di dalam pusat sumber telah penuh.

Untuk menyiapkan inovasi tersebut, Cikgu Sapri Idris telah dibantu oleh alumni sekolah iaitu seramai dua orang iaitu Pangiran Azmil Shah Azmi Shah dan Mohd Fardy Hanizam Mohd Jidi juga merupakan bekas pengawas pusat sumber sekolah.

Kepakaran dan kemahiran dalam bidang elektrik yang dimiliki oleh mereka telah memudahkan kerja-kerja menyiapkan inovasi berjaya disudahkan dengan jayanya.

Inovasi ini, bukan sahaja murah dan efisien dalam kawalan penjarakan sosial di pusat sumber malahan ia lebih menjamin keselamatan pelajar daripada terkena virus tanpa menyentuh suis atau kad kerana ia dikawal sepenuhnya oleh guru bertugas.

Pelajar hanya perlu melihat warna yang menyala di luar pusat sumber sekolah untuk boleh masuk atau tidak.

Pada waktu rehat, pihak pengurusan sekolah telah membuat keputusan untuk pusat sumber sekolah membuka perkhidmatannya kepada warga SMK Rancha-Rancha.
Potensi untuk inovasi ini disebar luaskan ke pusat sumber sekolah lain adalah sangat tinggi.

Memandangkan kosnya yang sangat jimat dan menjamin keselamatan pelajar, Cikgu Sapri mencadangkan supaya pusat sumber sekolah lain juga boleh mengaplikasikan Isyarat Pintas Penjarakan Sosial di sekolah mereka.

Pegawai Khas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan Malaysia, Haji Abd Razak Sulaiman yang melawat sekolah itu baru-baru ini turut memuji inovasi yang dihasilkan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN