Juara setiap kategori bersama trofi masing-masing.
LABUAN: SMK Pantai mengungguli Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSWPL) 2026 yang diadakan di Labuan International Golf Club (LIGC) pada 6-7 Mei lalu.
Dua pemain SMK Pantai memenangi acara individu kategori lelaki dan perempuan bawah 15 tahun yang masing-masing dimenangi Muhammad Zuhayr Mohd Sharif dan Nur Jahyezah Aznan.
Manakala Muhammad Airil Zaky Haris dan Nur Ayu Aleysa Mohd Aizam menduduki tempat kedua bagi acara lelaki dan perempuan kategori bawah 18 tahun.
SMK Pantai turut cemerlang dalam kategori berkumpulan apabila meraih johan keseluruhan lelaki dan perempuan bawah 15 serta naib johan keseluruhan lelaki dan perempuan bawah 18.
Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang telah mengharumkan nama sekolah.
Sambil merakamkan penghargaan kepada jurulatih, beliau berharap pemain berbakat ini akan dapat mewakili WP Labuan ke peringkat MSSM kelak.
“Buktikan kehebatan kamu di peringkat MSSM atau kejohanan lain pada masa hadapan. Terima kasih kepada jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa menyokong program SMK Pantai,”katanya.
Sementara itu, johan bawah 18 tahun Lelaki dimenangi pemain SM St Anthony, Amirul Hishamudin Roslan manakala johan kategori perempuan bawah 18 tahun diraih Nur Farisya Syazwani Mohd Shafie dari SMK Mutiara.
Muhammad Syamiel Mohammad Syamsuri dari SK Kerupang dan Raisha Amani Rujilah dari SK Rancha-Rancha pula menjuarai kategori lelaki dan perempuan bawah 12.
Seramai 28 pemain telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang dikelolakan SM ST Anne.
Pengerusi Teknik Sukan Golf MSSWPL, Samsul Mandisin mengucapkan terima kasih kepada semua sekolah yang telah menyertai kejohanan golf pada tahun ini.
“Menerusi kejohanan itu dapatlah pihak kami mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu di samping mencari pemain yang akan mewakili Labuan ke kejohanan di peringkat MSSM akan datang.
“Pemain menunjukkan semangat juang tinggi sekaligus membantu kami melahirkan lebih ramai pemain muda masa
depan,”katanya.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bakat Murid Jabatan Pendidikan Labuan, Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim.



