MELAPAH…. Sebahagian daripada ibu bapa dan guru melapah daging korban sempena Sambutah Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Labuan: Guru-guru SMK Mutiara dengan kerjasama Persatuan Anak Negeri Terengganu Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan (PANTAS) telah melaksanakan Ibadah Korban dengan menyembelih dua ekor lembu sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Program Ibadah Korban yang dilakukan secara gotong royong oleh guru dan ibu bapa itu telah diadakan diruang kantin sekolah. Manakala proses penyembelihan dilakukan di Pusat Penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan di Jalan Patau-Patau.
Menurut Ketua Program Ustaz Zainal Abdul Wahab, seekor daripada lembu korban itu di sumbangkan oleh Syarikat Masra Collection yang beroperasi di Labuan dan seekor lagi disumbangkan oleh tujuh peserta korban terdiri daripada ibu bapa dan guru.
Mereka yang menyertai ibadah korban kali ini ialah beliau sendiri (Ustaz Zainal Abdul Wahab), Ustaz Mohd Saifullizan Yasim dari SMK Mutiara, Haji Mohd Nasrudin Haji Nawawi, Mohd Rasyidin Siron dari Syarikat Eastro Ventures Sdn Bhd, Cikgu Suhaimi dan Cikgu Mizlan dari SMK Taman Perumahan Bedaun dan Salahuddin Mohamad dari PTTEP Malaysia serta Mohd Zam Omar dari Syarikat Petra Resources Sdn Bhd.
Sementara itu Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam Yasim turut menyaksikan program tersebut berkata, ibadah korban tahun ini agak berbeza kerana negara masih lagi diancam penularan Wabak COVID 19 dan perlu patuh kepada Prosedur Operasi Standart (SOP) seperti yang diarahkan oleh kerajaan.
“Walaupun dalam keadaan norma baharu, namun aktiviti korban yang kita jalankan tetap meriah dan lebih penting lagi ialah penghayatan kepada ibadah korban itu sendiri” katanya.
.Beliau turut menjelaskan program Ibadah Korban adalah sebahagian daripada tradisi sekolah SMK Mutiara yang diadaka setiap tahun.
Sementara itu katanya, daging korban berkenaan telah diagih-agihkan kepada golongan asnaf. Turut menerima daging tersebut ialah pekerja keselamatan dan petugas am sekolah serta 30 pelajar yang memenuhi kriteria yang digariskan dalam syariat Islam.
AGIH…. Mohd Bizam mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan Ustaz Zainal (kiri)