PROGRAM Ziarah Cakna Maya Perdana Majlis Bacaan Yassin, Tahlil, doa selamat serta penyerahan simbolik penyerahan kepada murid
LABUAN:Usaha SMK Mutiara dalam mendekati warga sekolah khususnya pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 harus di beri pujian dan dicontohi oleh sekolah lain.
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad berkata, pendekatan “bantu dan sayang” yang dilakukan oleh pengurusan sekolah sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang terkesan dengan COVID 19.
“Sesungguhnya dedikasi, empati serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa kita semua peka dan mengambil berat terhadap masalah dan isu keperluan warga dan anak-anak didik SMK Mutiara pada masa ini.
“Seperti yang kita sedia maklum, Labuan sebelum ini, telah mencatatkan peningkatan kes yang mendadak sekaliguis menyumbang kepada kematian yang agak tinggi” katanya berucap merasmikan Program Ziarah Cakna Maya Perdana yang disiarkan menerusi Google Meet baru-baru ini.
Jelas Yusup, masyarakat di sekeliling kita, termasuk anak-anak didik kita juga secara langsung turut berhadapan dengan situasi kehidupan yang sukar akibat pandemik yang belum ada kesudahannya untuk hilang dari muka bumi ini.
“Tidak ketinggalan juga, ramai dalam kalangan pelajar kita yang kehilangan ibu dan bapa tersayang secara tidak diduga”, katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk menggembleng amalan cakna dan prihatin serta berkongsi perasaan dan menyemarakkan iltizam untuk bersama berganding bahu antara warga sekolah, ibu bapa dan anak-anak didik dalam melaksanakan aktiviti kebajikan yang bercorak pendampingan sosial sejajar dengan konsep “kebajikan tanggungjawab bersama”.
“Inilah bukti jelas tentang usaha-usaha warga pendidik yang sentiasa komited dalam memastikan anak-anak kita semua mampu terus berusaha dalam pelajaran walaupun ada halangan dan ujian yang dihadapi oleh mereka” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh berkata, seramai empat orang pelajar sekolah ini telah kehilangan keluarga (ibu atau bapa) akibat pandemik Covid-19. Tiga daripadanya merupakan pelajar Tingkatan Lima manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Satu.
“Pihak sekolah mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua guru, PIBG dan komuniti yang membantu pelajar ini bagi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung.
“Kita akan sentiasa membudayakan amalan “bantu dan sayang” dalam mendekati pelajar yang berhadapan dengan masalah untuk di bantu, disayangi dan diberi sokongan emosi apatah lagi ada dalam kalangan mereka ini ada yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia bagi tahun 2021”,katanya.
Program Ziarah Cakna Maya Perdana merupakan program yang dianjurkan oleh Pengurusan Hal Ehwad Murid dan diselaraskan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling serta Panitia Pendidikan Agama Islam.
Antara pengisian program ini ialah bacaan Yasin, bacaan Tahlil dan Doa Selamat agar warga sekolah dilindungi daripada segala musibah.
Turut diadakan simbolik penyerahan sumbangan kepada pelajar yang terkesan dengan pandemic COVID 19. Program ini juga mendapat kerjasama yang baik daripada warga sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan, Abdul Rahman Ahmad, Pemangku YDP SMK Mutiara, Norhani Yusof, dan penolong-penolong kanan serta ibu bapa dan murid yang terlibat.
TAMAT
Gambar: