KENANGAN…..Asbola (tiga kanan) dan Mohd Nizam (dua kanan) bergambar kenangan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang yang dihasilkan daripada bahan kitar semula.
LABUAN: Sempena menyambut Bulan Kemerdekaan yang bakal menjelang, SMK Mutiara berjaya menghasilkan Jalur Gemilang daripada bahan kitar semula berukuran 16 kaki panjang dan 8 kaki lebar.
Bendera tersebut telah dipamerkan di ruang legar Blok B SMK Mutiara bermula 14 Julai lalu.
Menurut Pengarah Projek, Cikgu Nurazimah Anuar projek tersebut mengambil masa empat hari untuk disiapkan dengan menggunakan empat jenis bahan kitar semula seperti penutup botol, sarang telur, botol plastik dan ranting kayu.
“Kami telah menggunakan kira-kira 3,000 penutup botol, 100 sarang telur dan 150 botol plastik dalam menyiapkan projek ini yang membabitkan 50 guru dan ibu bapa yang turut serta dalam projek ini. Semua bahan kitar semula ini adalah sumbangan daripada guru-guru dan ibu bapa” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam Yasim melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh guru-guru dan PIBG SMK Mutiara dalam menzahirkan rasa kecintaan dan keprihatinan kepada lambang negara ini selaras dengan slogan Bulan Kemerdekaan kali ke-63 iaitu Malaysia Prihatin.
“Penghasilan bendera dari bahan kitar semula ini bukan hanya dari aspek fizikalnya sahaja tetapi ia perlu dilihat sebagai sebuah karya seni,” katanya.
Bermula dari aspek perancangan sehingga pelaksanaan, semuanya telah memberi gambaran dan menifestasi daya kreativiti, kesungguhan, keazaman dan keprihatinan guru-guru SMK Mutiara dalam menghasilkan sesuatu karya seni.
“Saya telah dapat melihat guru-guru dan ibu bapa memberi kerjasama yang sangat padu dalam menjayakan projek ini,”jelasnya lagi.
PENGARAH PROJEK….Cikgu Nurazimah Anuar
Salah seorang bapa murid yang terlibat dalam penghasilan bendera kebangsaan ini, Alias Asri berkata ini adalah pengalaman pertama beliau menghasilkan sesuatu karya seni dalam saiz yang besar.
Katanya, pengalaman yang diperolehi banyak mengajar beliau erti kesabaran, ketekunan dan kesungguhan dalam setiap pekerjaan.
Sementara itu, pegawai kanan dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Asbola Amit mendokumentasikan Jalur Gemilang tersebut sebagai sebahagian daripada program sambutan kemerdekaan tahun ini, pagi kelmarin.