28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

SMK Mutiara dan SK Rancha-Rancha Juara Kejohanan Olahraga MSSWPL 2022

JUARA…. SMK Mutiara bersama Yusup (tengah, empat kanan) dan Pengetua, Awg Rozlan (mengangkat trofi).

LABUAN –  Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara dan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) Kali Ke-21 Tahun 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan, Kolej Matrikulasi Labuan, baru-baru ini.

Naib juara disandang SMK Pantai dan ketiga SM Sains Labuan.

Bagi kategori sekolah rendah tempat kedua dan ketiga dimenangi SK Pantai dan SK Tanjung Aru.

SMK Lajau selaku tuan rumah menduduki tempat keempat diikuti SMK Rancha-Rancha di tangga kelima.

SMK Lajau dimandatkan sebagai Pengerusi Pengelola kejohanan  lima hari itu bersama Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun.

Kejohanan Olahraga MSSWPL 2022 melibatkan 888 atlet yang menyertai 18 acara padang dan balapan yang dikendalikan 140 pegawai kejohanan terdiri daripada guru-guru di seluruh WP Labuan.

SK RANCHA-RANCHA…. bersama piala selepas menjuarai MSSWPL peringkat sekolah rendah (

Majlis pembukaan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yusup Haji Mohamad manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias.

Bashir yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata kejohanan sukan bukan semata-mata untuk mencari juara atau pemenang.

“Namun sukan juga merupakan sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar dan guru,”katanya.

Pengerusi Pengelola, Siti Aminah Zakaria yang juga Pengetua SMK Lajau mengharapkan agar Kejohanan Olahraga  MSSWPL kali ke-21 mampu memupuk kerjasama daripada semua pihak.

“Syabas dan tahniah serta terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan kejohanan ini,”katanya.

SSN SMK Mutiara dan SK Patau-Patau akan menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga MSSWPL kali ke-22 Tahun 2023.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN