27.2 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mei 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SMK Mutiara  bersama PVATM  anjur Program Ziarah Kasih Perwira Negara

YAHYA….(kanan sekali) menyerahkan sumbangan wang tunai untuk Tabung Pahlawan kepada Bolkiah sambil diperhatikan oleh Haji Hamir  (dua kiri) dan Norhani.

LABUAN: SMK Mutiara Labuan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu serta Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menganjurkan Program Ziarah Kasih Perwira Negara sempena Hari Warga Emas Sedunia secara sederhana.

Turut menjalinkan kerjasama dalam menjayakan program itu ialah Pusat Pungutan Zakat WP Labuan, Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA).

Program tahunan SMK Mutiara yang unik ini mula diadakan pada tahun 2020 bagi menyantuni warga emas dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang menderita sakit dan terkesan dengan pandemik COVID-19.

Pihak sekolah telah mengumpul dana dalam kalangan warganya dan orang perseorangan untuk menyediakan bakul makanan serta wang tunai untuk disumbangkan kepada 16 orang veteran ATM di sekitar Labuan.

TAN KIM TECK…. masih bersemangat walaupun tidak dapat berdiri lama dan berjalan jauh.

PVATM turut menyumbang bakul makanan sebagai tambahan kepada bakul makanan sedia ada.

Pengetua SMK Mutiara,  Yahya Ahmad Puteh mengucapkan ribuan terima kasih kepada  semua yang terlibat dalam  menjayakan program tersebut.

Beliau turut berkongsi rasa syukur dan bangga kerana SMK Mutiara baru sahaja dianugerahkan Pengurusan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti / Swasta (PIBKS) Cemerlang 2020-2021.

 Malah beliau sendiri turut dinobatkan selaku Tokoh Pengetua Inspirasi PIBKS 2020-2021.

Momentum kejayaan berganda yang masih segar ini telah diteruskan dengan program kemasyarakatan yang bermakna dan berimpak tinggi. Beliau mahu program ini diteruskan di masa hadapan dengan pelibatan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Salah seorang veteran, Tan Kim Teck menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana masih ada lagi golongan yang sudi menziarahi dan menyantuni mereka di usia emas begini sambil menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada para veteran yang memerlukan.

Beliau yang menderita sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama apatah lagi berjalan jauh turut berkongsi pengalaman pahit manis beliau semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau pernah mengikuti satu ‘eksesais’ di mana mereka perlu berjalan kaki dari Menumbok ke Beaufort dan seterusnya ke Lok Kawi sebelum berakhir di Kota Belud, Sabah untuk menyertai latihan menembak.

Beliau tidak pernah menyesal malah berbangga kerana berpeluang menyarung pakaian seragam tentera dan mencurahkan khidmat bakti kepada negara tercinta.

Hadir sama, Pemangku Yang Di Pertuan PIBG SMK Mutiara,, Norhani Jaafar, Pemangku Ketua Cawangan PVATM Labuan, Bolkiah Aziz, Setiausaha PVATM Labuan, Nazri Panjang Abdullah, Timbalan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan,  Haji Hamir Zahari dan Timbalan Setiausaha PAMULA, Abdul Hafiez Sulaiman.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN