CENDERAMATA….Yahya Ahmad Puteh (dua kiri) menerima cenderamata daripada Ustaz Zainal Abdul Wahab sambil diperhatikan oleh PK Pentadbiran, Hisyam Abdul Aziz dan PK HEM, Masri Ayong (kanan).
LABUAN: Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara telah berjaya mengadakan “Program al-Quran Dekat di Hatiku” bersama-bersama warga SMK Mutiara, yang diadakan baru-baru ini.
Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh berkata, program ini adalah satu usaha untuk menggalakkan warga SMK Mutiara untuk membaca kalamullah pada setiap masa disamping menambah ilmu berkaitan kitab suci al-Quran kepada warga SMK Mutiara disamping memupuk semangat kerjasama dan ikatan silaturrahim dalam kalangan warga sekolah.

PERASMIAN….- Yahya ketika merasmikan Program Al-Quran Dekat Di Hatiku SMK Mutiara tahun 2021.
“Seramai 30 orang peserta telah menyertai program ini pada pusingan pertama bacaan al-Quran yang bermula pada 22 Januari lalu dan akan berkahir pada 20 Febuari ini.
“Program ini telah berjaya menghimpunkan semua warga SMK Mutiara yang terdiri dari guru, warga Kakitangan Bukan Mengajar dan warga PIBG SMK Mutiara”, katanya ketika dihubungi selepas merasmikan program tersebut di Tapak Perhimpunan sekolah itu.
Katanya, menerusi program tersebut warga SMK Mutiara dapat menjalinkan kerjasama erat dalam kalangan mereka dengan membantu membina keyakinan diri dan melatih diri untuk menjadi seorang muslim sejati.
Yahya berkata, program ini juga berjaya mencapai objektif yang telah dirancang kerana semua peserta memberikan komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan bacaan masing- masing hingga selesai.
Sementara itu, Penyelaras program, Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab menegaskan tujuan program ini diadakan adalah untuk mewujudkan iklim dini yang inklusif kepada sekolah.
Katanya, suasana dunia yang sedang diselubungi dengan ancaman wabak COVID-19 yang amat berbahaya memerlukan kita kembali kepada agama Islam dengan mengamalkan gaya hidup yang benar berlandaskan al-Quran dan sunnah nabi.
“Pembacaan al-Quran ini dapat menenangkan jiwa kita dari sebarang masalah dan cabaran yang melanda jiwa kita.
“Semoga usaha murni pihak Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara ini membawa impak maksima yang positif kepada seluruh warganya,”katanya.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Mutiara, Masri Ayong berkata program ini adalah program pertama kali seumpamanya yang pernah diadakan di SMK Mutiara pada tahun ini.
Beliau menzahirkan rasa bertuah dan bersyukur kepada pihak panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara kerana memberikan satu program yang amat berfaedah buat semua warga.