30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

SM Agama MAIWPL dan komuniti jayakan ibadah korban 2022

KORBAN….Aktiviti penyembelihan lembu sedang dilaksanakan oleh Ustaz Junid Alling sambil dibantu oleh masyarakat setempat.

LABUAN – Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan  Labuan (SMA MAIWP) buat julung kalinya mengadakan Program Korban melibatkan komuniti setempat yang diadakan di sekolah tersebut pada Ahad lalu.

Pengetua SMA MAIWP Labuan, Mohd Hasnizan Hasin, berkata ini merupakan hasil jaringan kerjasama yang erat di antara SMA MAIWP Labuan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), warga sekolah dan Alumni SMA MAIWP Labuan.

Katanya, jalinan kerjasama ini turut disertai oleh Kelab Kebajikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (KKM MAIWP), Jawatankuasa Persatuan Penduduk Kampung Lubok Temiang, Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA), Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Labuan, An-Nisa Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan, Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (PPMWPL) dan individu perseorangan setempat.

Beliau yang juga Ketua Pengurusan Program Korban menjelaskan jalinan kerjasama ini dapat mengeratkan lagi jalinan ukhwah kekeluargaan melibatkan warga sekolah dengan masyarakat tempatan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti ibadah korban ini.

Sebanyak dua ekor lembu telah disumbangkan oleh Mohd Syafiq Zainol dan Syafiq Yunos melalui jaringan kerjasama bersama Jawatankuasa Masjid Nur Iman Gangarak/Merinding.

Pengerusi Perwakilan Penduduk Zon 4, Ustaz Mohd Junid Alling dan Imam Masjid Jamek Adam, Kampung Lajau, Ustaz Lukman Kasnawi, antara petugas yang melaksanakan tanggungjawab penyembelihan pada program ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) W.P Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan dan Ketua Kampung Lubok Temiang, Awangku Sazali Pangiran Salleh dan 130 petugas.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan secara gotong royong bagi melancarkan pelaksanaan ibadah korban ini.

Ketua Pemuda dan Ketua Belia Kampung Lubok Temiang turut menyumbang jasa kepada aktiviti tersebut yang dibantu oleh pengurusan SMA MAIWP Labuan.

Selain daripada aktiviti penyembelihan pada program ini, masyarakat juga turut membantu untuk aktiviti melapah kulit, memotong daging, memotong tulang, mencuci usus, menimbang daging korban, membungkus dan sebagainya pada binatang korban tersebut.

 ‘Program Jalinan kerjasama ini dapat mengeratkan semangat kekeluargaan besar SMA MAIWPL selain daripada jalinan ukhwah dan merupakan rakan strategik yang dibina pada masa akan datang.

Pengagihan daging korban juga turut diserahkan kepada mereka yang layak untuk menerimanya melalui Jawatankuasa Penyelaras Masjid Nur Iman Gangarak/Merinding.

Pada akhir program ini semua petugas diberikan sijil penghargaan sebagai tanda sokongan dalam menjayakan program ibadah ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN