Skuad Pahlawan Subuh IPD Labuan turut memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul Masjid Jamek Layang-Layangan.
LABUAN – Kehadiran kira-kira 320 jemaah termasuk 102 anggota skuad Pahlawan Subuh IPD Labuan turut memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Masjid Jamek Layang-Layangan (MJLL) Wilayah Persekutuan Labuan 2021M/1443H yang diadakan di Dewan Solat masjid berkenaan pada malam Khamis lalu.
Majlis yang bertemakan “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti”itu turut dihadiri 50 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan.
Bual bicara ‘Aku Sayang Rasulullah’ bersama Ketua Penolong Mufti, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ahmad Zaky Md Ali @ Tahir memulakan majlis yang bermula selepas Solat Maghrib itu.
Ketua Imam Masjid Jamek Layang-Layangan, Ustaz Muhammad Shafie Abdul Ghani bertindak sebagai moderator.

Ustaz Sazali (3 kiri) bersama tetamu kehormat. Turut kelihatan Dr Ahmad Zaky (4 kanan), Haji Hamir (4 kiri), Superitendan Ahmad (3 kanan) dan Ismaidi (2 kanan).
Majlis itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustaz Sazali Rithouddin Shahabuddin.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Haji Ahmad Haji Jawila, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ismaidi Haji Ismail, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Layang-Layangan, Haji Hamir Haji Zahari dan wakil MAIWP Labuan, Ustaz Abdul Fatah Abdul Hafiz.
Hadir sama Ketua Kampung Layang-Layangan, Lamat Tahir dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 1, Haji Abdul Rahim Mohd Salleh.
Majlis anjuran AJK Masjid Jamek Layang-Layangan itu mendapat kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, JAWI Labuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan IPD Labuan dan JBPM Labuan.
Sementara itu, Haji Hamir berkata pada zaman sekarang ini sudah masanya umat Islam menterjemahkan Islam itu ke dalam segenap aspek kehidupan, baik di dalam menjalani kehidupan berkeluarga, bersiasah, berekonomi, berkomunikasi dan keseluruhan cara hidup.
Beliau juga berharap komitmen dan kerjasama agensi kerajaan itu akan berterusan dalam membantu MJLL mengadakan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan bukan sahaja untuk manfaat ahli kariah tetapi juga umat Islam keseluruhannya.
Hamir tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis itu dan semoga banyak lagi majlis yang bermanfaat dapat diadakan pada masa hadapan.
‘Kehadiran skuad Pahlawan Subuh IPD Labuan yang memakai pakaian seragam polis menaikkan lagi semangat kami untuk terus mengadakan program kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
“Marilah kita beristiqamah untuk kekal dalam Islam,”katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua AJK MJLL yang berusaha gigih memastikan program itu berjalan lancar.
Turut diadakan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 10 ahli kariah yang kurang berkemampuan di Kampung Layang-Layangan.



