26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SK Malaing Pertama Di Borneo Menerima Pemasangan Starlink

.Arthur merakamkan kenangan bersama penduduk kampung dan pelajar di SK Malaing

KENINGAU: Sekolah Kebangsaan Malaing Keningau dalam Parlimen Pensiangan telah dipilih untuk menjadi lokasi pertama di Sabah dan Borneo menerima pemasangan Starlink berspesifikasi tinggi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkenaan merupakan tambahan fasiliti yang bersifat sementara bagi menawarkan kemudahan capaian internet yang stabil dan laju bagi kemudahan penduduk setempat.

Katanya, SK Malaing merupakan salah satu daripada tiga lokasi yang telah beliau mohon selain daripada SK Bonor dan SK Longongon, Nabawan.

“Merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar terutamanya kawasan pedalaman Sabah merupakan salah satu agenda yang saya perjuangkan sejak menjadi Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat di kawasan Pensiangan.

“Saya telah mengadakan lawatan ke Kampung Malaing untuk meninjau dan mencuba sendiri prestasi perkhidmatan internet Starlink tersebut.

“Para penduduk di Kampung Malaing menyatakan penghargaan atas inisiatif yang telah dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital dan mereka amat berpuas hati dengan kelajuan dan kestabilan capaian internet oleh Starlink.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang, sebanyak 55 menara telekomunikasi baharu di bawah program JENDELA sedang dibina bagi memastikan Parlimen Pensiangan mempunyai liputan internet yang lebih meluas, laju dan stabil di masa hadapan.

“Saya percaya akses kepada capaian internet dan teknologi akan membantu mewujudkan pelbagai peluang bagi sesebuah komuniti untuk memacu perubahan ekonomi yang signifikan seterusnya menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” jelasnya dalam kenyataannya di sini.

Tambahnya, melalui kemudahan capaian internet yang stabil ini akan membolehkan pelajar di kawasan pedalaman dapat turut serta secara aktif dalam pembelajaran dalam talian (PdP) di samping menerokai teknologi dan kemahiran baharu seperti kecerdasan buatan (A.I), realiti maya (V.R), pengkodan dan pelbagai lagi yang dapat meningkatkan kemahiran diri mereka sejajar dengan keperluan pasaran industri di masa akan datang.

Selain itu katanya, pemasangan peralatan Starlink di SK Malaing secara tidak langsung mencerminkan bagaimana hubungan erat antara pemimpin setempat, anggota pentadbiran dan juga agensi Kerajaan dapat mewujudkan kerjasama merentasi agenda politik dalam memberikan perkhidmatan yang optimum kepada masyarakat umum.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil serta agensi yang terlibat dalam usaha untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar yang memberikan impak yang besar kepada komuniti setempat,” jelasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN