ADVERTISEMENTspot_img

SJAM Sabah Tingkat Kesiapsiagaan Susulan Amaran Virus Nipah

Petrus



KOTA KINABALU: St. John Ambulans Malaysia (SJAM) Sabah meningkatkan tahap kesiapsiagaan strategik serta menyeru kewaspadaan awam susulan laporan penularan virus Nipah di West Bengal, India, sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam di negeri ini.

Penguasa Kawasan (Gerakan) Pantai Barat Selatan Atas SJAM Sabah, Petrus C. Mojuntin berkata pihaknya telah melaporkan trend situasi semasa secara rasmi kepada kepimpinan negeri SJAM Sabah dan menegaskan komitmen penuh organisasi itu untuk bekerjasama dengan hospital kerajaan serta agensi berkaitan sekiranya diperlukan.

Katanya, pihak kawasan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menggerakkan tenaga kerja dan sokongan logistik bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta badan kerajaan lain.

“Saya menyarankan agar semua agensi perubatan dan kesihatan di Sabah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi, dengan pengukuhan protokol saringan awal serta langkah pencegahan bagi memastikan sebarang kemungkinan kes dapat ditangani secara berkesan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Petrus memaklumkan sukarelawan SJAM di seluruh Sabah, khususnya di kawasan Pantai Barat Selatan Atas, telah diletakkan dalam keadaan siap siaga (standby).

Katanya, anggota SJAM yang terlatih bersedia dikerahkan untuk menyokong fasiliti kesihatan dari segi bantuan kecemasan dan logistik perubatan barisan hadapan.

Beliau turut menggesa orang ramai agar mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi sebagai langkah pencegahan awal, termasuk kerap mencuci tangan, menggunakan bahan sanitasi serta mengelakkan sentuhan dengan haiwan pembawa seperti kelawar dan babi.

“SJAM Sabah kekal teguh dengan misi untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menyokong sistem penjagaan kesihatan negara dalam menghadapi sebarang kecemasan kesihatan awam,” katanya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN