James (kanan) menerima cenderamata disampaikan Pengarah Jhewa, Hjh Haslina
KOTA KINABALU: Sistem Aplikasi D-Ledger yang dibangunkan mampu membantu kaum wanita menjalankan urus niaga perniagaan secara digital dan lebih efisien, kata Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib,
“Gelombang digital terus membadai masyarakat sejagat, mencapai skala yang tidak pernah tercapai sebelum ini dan telah merubah sama sekali gaya hidup masyarakat di seluruh pelusuk dunia.
“Jika kita lihat sepuluh tahun yang lalu, sudah begitu banyak perubahan yang dapat kita lihat dari pelbagai aspek sama ada dari segi cara kita berinteraksi antara satu sama lain, cara kita belajar, berurus niaga malah cara kita memantau kesihatan diri.
“Semuanya ini adalah hasil dari sentuhan teknologi yang pesat berkembang. Justeru, Kementerian saya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) mengambil usaha untuk membangunkan sistem aplikasi D-Ledger,” kata beliau.
Menurut James, sistem Aplikasi D-Ledger ini bertujuan untuk membolehkan rekod transaksi, pendapatan dan perbelanjaan serta beberapa urus niaga perniagaan dikendalikan secara digital.
“Selaras dengan perkembangan ini Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan usaha transformasi digital, dengan memperkenalkan kemahiran dalam bidang ini di bawah pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai salah satu inisiatif teras hala tuju Sabah Maju Jaya,” kata beliau.
James yang juga merupakan ADUN Sugut berkata demikian Sempena Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi D-Ledger 2023 yang diadakan di Ballroom Wisma Wanita pada hari Isnin.
Beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pengarah JHEWA, Hajah Haslina Ismail dan warga kerja di atas penganjuran majlis tersebut, sekaligus dengan pelancaran Sistem Aplikasi D-Ledger.
“Saya dimaklumkan seramai 300 jemputan yang hadir pada hari ini terdiri daripada peserta-peserta kursus kemahiran dan para usahawan wanita bimbingan JHEWA dari pelbagai daerah di negeri Sabah,” kata beliau.
James menambah bahawa beliau sentiasa menyokong dan menyeru kepada semua usahawan wanita agar sentiasa mengambil peluang dan menyahut saranan kerajaan untuk mempersiapkan diri bergerak seiring perkembangan teknologi agar diadaptasikan dalam perniagaan supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan semasa.
“Selain daripada kursus-kursus kemahiran, bantuan geran peralatan dan program promosi keusahawanan yang dilaksanakan oleh JHEWA pembangunan sistem ini juga dilihat sebagai pencetus kearah memperkasakan para wanita.
“Ini khusus kepada golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah yang baru mahupun yang telah lama berkecimpung dalam bidang keusahawanan agar dapat memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi perniagaan,” kata beliau.
Turut hadir, Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng, Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Sr. Lee Chun Khiong, Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Maria @ Marcella David Edick, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jais Asri, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr. Hajah Tarsiah TZ Taman, dan lain-lain.