Ketibaan Jainisah dan rombongan KMJG 2024 disambut Hanapi (kiri) dan Matusin (dua dari kanan).
SEMPORNA : Sinergi Komuniti MADANI dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) meningkatkan kemahiran digital komuniti luar bandar.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata kolaborasi tersebut membuka ruang kepada masyarakat luar bandar untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
“Saya telah berbincang dengan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Sabah (MCMC) untuk memberi kerjasama kepada Komuniti MADANI melalui NADI untuk membuat apa-apa jua program yang bersangkutan dengan masyarakat setempat.
“Dengan adanya NADI di dalam komuniti tuan-tuan memberi banyak kelebihan yang boleh digunakan bagi meningkatkan keupayaan literasi digital masyarakat setempat terutama anak-anak muda.
“Usaha ini penting bagi memberi kemahiran kepada anak-anak muda kita untuk melayari internet dengan betul dan selamat agar maklumat yang diperoleh adalah daripada sumber yang sahih,” katanya ketika merasmikan Program JIWA Komuniti MADANI Tagasan di perkarangan NADI Kampung Tagasan dekat sini pada Ahad.
Jelasnya, selain perkhidmatan internet ahli-ahli Komuniti MADANi juga boleh mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh NADI bagi meningkatkan taraf sosioekonomi.
Program tersebut diadakan bersempena dengan sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang singgah ke NADI Tagasan yang juga destinasi ke 33 konvoi tersebut.
Ketibaan Jainisah yang juga Ketua Konvoi KMJG 2024 telah disambut oleh Ketua Komuniti MADANI Tagasan Matusin Talib, Ketua Kampung Tagasan Hanapi Jikir dan Pegawai Penerangan Daerah Semporna Mohd Syah Kisun. – Penerangan–