Gambar: PEMENANG…. Sidi (tiga dari kanan), Nurhasan (tengah) dan Ahad (tiga dari kiri) bersama Haji Rithuan (dua kanan), Mohd Dzulfaizal (kanan sekali), Fadilah (kiri sekali) dan Rudy (dua kiri).
LABUAN: :Sidi Yusof muncul juara Pertandingan Memancing Pesisir Pantai yang diadakan di pantai Negalang/Kerupang anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 5 dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negalang/Kerupang, pada Ahad.
Sidi yang berjaya menaikan ikan jenis Bedukang seberat 218 gram selepas 58 minit pertandingan dimulakan menerima hadiah wang tunai RM600 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Ismail.
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Nurhasan Abd Hamid selepas berjaya menangkap ikan jenis yang sama seberat 118gram menerima hadiah wang tunai RM400.
Tempat ketiga dimenangi oleh Ahad Timbang dengan hasil tangkapan ikan jenis Badukang seberat 40 gram untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM200.
Pertandingan yang melibatkan lebih 150 peserta telah disempurnakan majlis perlepasannya oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias tepat jam 7 pagi.
Turut diadakan pertandingan Membina Istana Pasir Tertutup untuk kanak-kanak Kampung Negalang/Kerupang berusia 10 tahun ke bawah.
Hadir sama pada majlis penyampaian hadiah, Pengerusi MPP Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan, Pengerusi MPP Sub Zon 5, Fadilah Edde Abd Khalid dan Ketua Kampung Negalang/Kerupang Rudy Nesar.