27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Mac 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pergiat usaha tanaman Sacha Inci: James Ratib

Lawatan ke Ladang Sacha Inci yang diusahakan sendiri oleh Datuk James Ratib bersama Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah.

BELURAN: Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Negeri Sabah, Datuk James Ratib menasihatkan penduduk agar mempergiatkan usaha tanaman Sacha Inci dikawasan tanah milik mereka berikutan harga tinggi dipasaran dalam dan luar negara pada masa kini.

Menegaskan perkara itu, beliau berkata tanaman Sacha Inci atau nama saintifiknya ‘Plukenitia Volubilis‘ merupakan sejenis tumbuhan yang senang untuk dijaga dan boleh tumbuh subur dalam apa juga jenis tanah sama seperti penanaman sayur kekacang selain kos yang murah.

“Pokok akan akan mula mengeluarkan buah selepas empat bulan dan boleh dituai seawal lapan bulan serta bertahan sehingga 30 tahun. Pada mulanya memang agak berat untuk memulakan kerja-kerja penanaman ini kerana anda perlu menyediakan peralatan sesuai, tetapi ianya hanya pada tahun pertama sahaja, selepas itu hasil boleh dipungut sehingga 29 tahun berikutnya”. Jelas James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sejahtera Kg. Waigon II, Paitan pada Sabtu.

James yang juga Penaung Penanaman Sacha Inci Negeri Sabah berkata, pada masa kini kerajaan menerusi Kementerian Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah telah menyediakan pelbagai bantuan kepada pekebun dan peladang yang benar-benar serius untuk menjadikan kedua-dua bidang itu sebagai salah satu perniagaan bagi meningkatkan pendapatan.

Justeru katanya, rakyat perlu merebut peluang yang disediakan itu dan berusaha gigih agar dapat bersaing untuk kemajuan diri sendiri dan keluarga serta membuang sikap tunggu dan lihat termasuk terlalu bergantung kepada bantuan-bantuan asas daripada mana-mana pihak.

“Saya pernah terbaca mengenai bibiografi seorang individu bernama Jack Ma yang mana kehidupan masa silamnya terlalu daif dan pernah melalui hinaan, dipandang rendah serta gagal dalam pelajaran. Namun atas usaha gigih serta tidak malu untuk bekerja, beliau kini menjadi salah seorang daripada jutawan dunia yang amat dibanggakan masyarakat bahkan empayar perniagaannya juga terkenal dimerata dunia. Beliau meninggalkan kesan moral yang memberi suntikan motivasi kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya”. Katanya.

SERAH BANTUAN…..James menyerahkan bantuan berupa enjin sangkut, mesin rumput dan mesin jahit kepada wakil penerima.

Katanya, tidak ada alasan menjadikan kawasan pendalaman sebagai faktor penghalang untuk maju dalam pertanian kerana jika seseorang itu berhijrah ke bandar besar sekalipun, namun masih bersikap sambil lewa dan malas, ia tidak mampu untuk merubah nasib seseorang malah akan tetap hidup dalam nasib yang sama.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan peranannya sebagai wakil rakyat di Dun Sugut dimana perjuangan untuk mempastikan kemajuan terus terlaksana merupakan teras dan objektif utama beliau selaku pemimpin dikawasan berkenaan.

“Sebagai pemimpin, saya tidak akan membiarkan rakyat dikawasan saya ketinggalan menikmati arus pembangunan khususnya pembangunan infrastruktur. Selagi saya menjadi wakil rakyat dikawasan ini, saya akan terus lantang bersuara demi kemajuan Sugut sepenuhnya”. Jelasnya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyumbangkan beberapa peralatan untuk kemudahan rakyat antaranya enjin sangkut, mesin rumput dan mesin jahit. Turut hadir adalah Pegawai pembangunan Masyarakat (PPM) Dun Sugut, Jalil Atang, Penolong Pegawai Daerah Paitan, Joe Joloning Majambu, Ketua Daerah, Awang Bangis serta beberapa Pegawai dari agensi Kementerian Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN