Robert (duduk enam dari kanan)mengabadikan gambar kenangan bersama Ketua-Ketua yang hadir pada perjumpaan itu.
KENINGAU:Siri perjumpaan terakhir Ketua-Ketua Adat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Bingkor dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin menyaksikan kehadiran 11 orang Ketua Kampung dari Mukim Bunga Raya Merampong.
Perjumpaan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pexaholic Cafe di Bandar Baharu Keningau itu adalah kumpulan yang terakhir selepas perjumpaan pertama Ketua Ketua Adat Mukim Tuarid Taud/Bandar, kedua Mukim Bingkor dan ketiga Mukim Apin-Apin.
Ia diadakan bagi mengetahui dan membincangkan isu-isu semasa serta memberi penerangan berkenaan peranan Ketua-Ketua Adat dikalangan Ketua-Ketua Kampung.
Ketua-Ketua adat yang menghadiri perjumpaan tersebut adalah dari Kampung Merampong, Bunga Raya, Pagasangan, Tagai, Kodop Baru, Tohan Baru, Kilambang, Liau Laut, Mengitom Baru, Tonobon Baru, dan Kg Liau Ulu.
Dalam perjumpaan tersebut Robert Tawik yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya menekankan sekali lagi terhadap kewajipan Ketua-Ketua Kampung melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang adat tempatan yang amanah dan berintegriti.
Katanya, Ketua Kampung adalah jentera kerajaan yang perlu membantu kerajaan memberikan layanan terhadap permasalahan penduduk khususnya berhubung kait dengan penguatkuasakan dan pelaksanaan Adat Anak Negeri yang termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri yang sedang dikuatkuasakan.
Tindakan dan keputusan Ketua-Ketua Adat harus merujuk dan selari dengan Enakmen Mahkamah Anak Negeri.
“Jika Enakmen Mahkamah Anak Negeri dipatuhi, sudah tentu apa yang diputuskan tidak menimbulkan pertikaian oleh pihak-pihak tertentu” jelasnya.
Beliau juga berharap Ketua-Ketua Kampung memberikan komitmen yang tinggi terhadap program program kerajaan khususnya merealisasikan Misi Dan visi Sabah Maju Jaya.
Turut hadir Ketua Daerah Bingkor OKK Daniel Palangi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.40 Bingkor Junior Fred Vincent, Pegawai Pembangunan Masyarakat N.40 Bingkor Tinus Majip dan KAN Taburou Sumping, WKAN Haji Mokhsin Salleh dan Staf UPPM N.40 Bingkor .