Ellron menyerahkan lesen kepada salah seorang peserta sambil disaksikan oleh William (kanan) dan Neldin (tengah).
NABAWAN: Seramai 92 daripada 103 peserta telah melepasi pemeriksaan fizikal sekali gus layak mendapat lesen perkapalan kecil anjuran Jabatan Perkapalan dan Dermaga Sabah (JPDS)dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS)dalam program Super Youth Perlesenan Kapal Kecil di Daerah Kecil Pegalungangan yang berakhir kelmarin.
Program yang bermula pada 19 hingga 21 Ogos itu turut menyaksikan pelbagai aktiviti antaranya penyerahan bendera kepada penduduk sekitar bersempena Program 10 Thousand Steps Challenge, penyerahan sumbangan ikhlas daripada Kelab Rekreasi KBSS dan penyerahan peralatan sukan kepada enam buah sekolah rendah Daerah Kecil Pegalungan.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan sendiri oleh Datuk Ellron Angin selaku Menteri Belia dan Sukan Sabah.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh mengenai pentingnya pemilik-pemilik bot kecil untuk mendapatkan lesen agar mereka tahu dan maklum mengenai tanggungjawab dan aspek keselamatan selaku operator bot kecil.
“Saya melihat ramai pemilik bot mahir dalam pengendalian kapal kecil ini namun kurang arif mengenai aspek keselamatan diri serta penumpang dan tanggungjawab sebagai operator.
Oleh itu, pelaksanaan program ini pastinya akan mendedahkan kepada pemilik bot untuk lebih cekap dan bertanggungjawab semasa mengendalikan bot kecil apatah mereka sekarang ini mempunyai lesen” katanya.
Ellron (tengah), Neldin (kanan) dan William (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama-sama warga Pegalungan.
Selain itu, Ellron yang juga Wakil Rakyat Sook itu berkata, bagi memenuhi permintaan warga Pegalungan yang tidak mendapat lesen semasa program ini, pihaknya akan merangka satu lagi program perlesenan kapal kecil yang bakal diadakan pada bulan November depan.
“Saya telahpun berbincang perkara ini dengan Pegawai Daerah Nabawan Tuan Neldin Gimbang dan Timbalan Setiausaha Tetap KBSS (Sektor Belia) Tuan William Ahlan, akan ada program susulan berkaitan perlesenan kapal kecil memandangkan permintaan luar jangka oleh ramai warga Pegalungan yang berhasrat memiliki lesen” jelasnya.
Walau bagaimanapun katanya, program yang bakal diadakan pada bulan November akan mensasarkan mereka yang tidak tersenarai dalam program kali ini dan mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan haruslah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak JPDS.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kepada warga Pegalungan, kementeriannya dalam usaha untuk mengembangkan potensi sosioekonomi belia Sabah melalui program SYABAS.
SYABAS ataupun Program Skim Jaya Usahawan Belia merupakan sebuah program Baharu kerajaan negeri Sabah di bawah seliaan KBSS bagi memacu pembangunan ekonomi belia Sabah.
Ellron berkata, program ini akan memfokuskan dua kategori bantuan kewangan iaitu RM2,000 bagi mereka yang baru memulakan perniagaan dan RM5,000 bagi mereka yang ingin mengembangkan perniagaan.
Jelasnya lagi, program ini terbuka kepada belia Sabah yang berumur 18-40 tahun dan mempunyI lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau menyeru agar golongan belia merebut peluang dan ruang ini terutama mereka yang layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Katanya, ini penting bagi meningkatkan sosioekonomi golongan belia di kawasan ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap merangkap Presiden Kelab dan Rekreasi KBSS William Ahlan, Pegawai Daerah Nabawan Neldin Gimbang, Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Sabah Jre Jreneus Pagut dan Ketua Daerah Kecil Pegalungan OKK Philip Antugi.