26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Seramai 60 KIR terima bantuan Rumah Mesra SMJ

Ghani (lima dari kanan) bersama Norlijah (empat dari kanan), Peter (lima dari kiri ) dan Mohd Fadzy (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama beberapa penerima Rumah Mesra SMJ.

NABAWAN: Seramai 60 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tersenarai dalam sistem e-Kasih di daerah ini telah menerima bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) daripada Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, daripada bilangan itu 20 buah Rumah Mesra SMJ yang telah diluluskan pada tahun 2022 telah siap dibina.

Sementara itu katanya, 40 buah lagi yang diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri pada tahun 2023 dan 2024 kini sedang dalam proses pelaksanaan.

Katanya, Rumah Mesra SMJ ini merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Semasa pelancaran bantuan Rumah Mesra SMJ pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah mengumumkan sebanyak 1500 buah Rumah Mesra SMJ akan dibina dan diberikan secara percuma untuk golongan miskin dan miskin tegar ataupun rakyat yang tersenarai dalam sistem e-kasih dan mereka yang tidak mempunyai rumah sendiri di 73 buah DUN di Negeri Sabah” katanya.

Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ untuk tahun 2022 dan Taklimat Spesifikasi Rumah Mesra SMJ tahun 2023 dan 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah di sini pada Jumaat.

“Beginilah usaha, keprihatinan dan kejayaan kerajaan Negeri Sabah yang sedaya upaya untuk membantu rakyat di negeri ini terutama dalam usaha menoktahkan isu kemiskinan” jelasnya.

Beliu berharap usaha KPLB untuk memastikan agenda pembangunan Negeri Sabah akan terus bergerak dan dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini
selari dengan agenda pembangunan Hala tuju Sabah Maju Jaya.

Pada masa sama Ghani memaklumkan bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) terlibat sebagai agensi pelaksana untuk menjalankan program-program yang telah dirancang bagi membantu menoktahkan kemiskinan di negeri ini.

Katanya, LKTNS juga sentiasa mengutamakan keperluan masyarakat
di luar bandar terutama dalam meningkatkan pendapatan isi
rumah melalui aktiviti-aktiviti ekonomi tambahan dan pelbagai program lain.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah memahami nadi rakyat Sabah dan keperluan yang perlu diterjemahkan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu Ghani berharap agar Kerajaan melalui Kementerian berkenaan meneliti dengan sebaik-baiknya untuk memberikan kuota bantuan Rumah Mesra SMJ di daerah Nabawan dengan sewajarnya kerana sebenarnya memang ramai penerima Rumah Mesra SMJ yang layak di
daerah ini.

Beliau juga berharap keluarga yang layak menerima Rumah Mesra SMJ ini agar memanfaatkannya rumah batuan kerajaan ini dengan sebaiknya untuk menjalani kehidupan yang lebih
selesa untuk seisi keluarga.

Terdahulu Ketua Jurutera unit kejuruteraan KPLB Mohd Fadzy bin Ag Osman menyampaikan Taklimat Spesifikasi Rumah Mesra SMJ tahun 2023 dan 2024 kepada pengurus dan wakil kontraktor yang mendapat tawaran pelaksanaan Rumah Mesra SMJ di daerah ini.

Mohd Fadzy dalam taklimatnya memberi penekanan agar para kontraktor menitik beratkan kualiti dan mengikut Spesifikasi serta pelan Rumah Mesra SMJ.

Katanya, Rumah Mesra SMJ diilhamkan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat yang memerlukan terutama mereka yang belum mempunyai rumah yang selesa.

Oleh itu katanya, binalah rumah mereka dengan sempurna untuk keselesaan keluarga yang sudah lama menantikan rumah baharu.

“Kita tidak mahu apabila Rumah Mesra SMJ dibina dengan tidak sempurna dan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan, kerajaan dipersalahkan dan diviralkan pula oleh pihak lain walhal kontraktor yang tidak melaksanakan dengan baik” tegasnya.

Hadir sama Setiausaha Tetap KPLB
Datuk Norlijah Haji Danin, Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton, Pemimpin Pembangun Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN