Salah seorang peserta menerima sijil disampaikan Jonathan
RANAU: Seramai 402 orang pengusaha tanaman
durian dari Ranau menyertai Kursus Diseminasi Teknologi Tanaman Durian di Dewan Masyarakat daerah ini pada Selasa.
Kursus yang julungkali diadakan itu merupakan anjuran bersama Jabatan Pertanian daerah dengan Pejabat Parlimen P.179 Ranau, yang lebih berfokus kepada penghasilan buah durian yang bekualiti serta bernilai tinggi.
Antara ceramah sepanjang kursus yang bermula 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang itu ialah, Pengurusan Agronomi Tanaman Durian disampaikan Penolong Pegawai Pertanian Unit Agronomi Tanaman Seksyen Pengembangan dan Transformasi Teknologi Pertanian (SPTTP) Tuaran, Will Scott Giri disusuli ceramah bertajuk Pensijilan Ladang dan Pengsahan
Ketulenan Bahan Tanaman oleh Penolong Pegawai Pertanian Unit Pensijilan Ladang SPTTS Tuaran, Elvera Petrus, diikuti ceramah bertajuk Pengeksportan Hasil Durian oleh Penolong Pengarah Pertanian Seksyen Biosekuriti dan Kuarantin Tumbuhan, Jovita Joseph diteruskan dengan ceramah bertajuk Pengendalian Lepas Tuai dan Pemprosesan Produk Hiliran Durian oleh Pegawai Penyelidik KananTeknologi Makanan dan Lepas Tuai Pusat Penyeledikan Pertanian Tuaran, Nur Diyana Yusoff disusuli ceramah bertajuk Penjenamaan dan Pembungkusan Produk Hiliran Durian oleh Penolong Pengarah Pertanian Seksyen Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Makanan, Pejabat Pertanian Kota Kinabalu, Janet G.Asing. Turut diadakan ialah, Latihamal Cantuman Tanaman Durian yang dikendalikan Penolong Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Sandakan, Mohd. Rhymie Ahmad.
Perasmian Penutupan kursus tersebut telah di sempurnakan Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Pertanian, Pejabat Pertanian Sandakan, Linda Lily Cosmas yang turut berucap mewakili Pengarah Jabatan Pertanian Sabah.
Jonathan dalam ucapan perasmian dan Penutupan kursus itu, memuji Pejabat Pertanian Ranau dan Pejabat Parlimen P.179 Ranau kerana mengendalikan kursus yang amat penting itu sebagai titian melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya dalam bidang pertanian khususnya tanaman durian di Ranau.
Beliau berkata, menerusi kehadiran kursus boleh menambah pengetahuan dan pengalaman baru ke arah penghasilan tanaman durian berkualiti tinggi.
Menurutnya, Pembangunan tanaman durian merupakan antara fokus kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran tanaman makanan di Sabah.
“Berdasarkan Data Perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Sabah setakat tahun 2023 pengeluaran durian di Sabah telah mencapai tahap kecukupan melebihi 100 peratus dengan keluasan bertanam iaitu 7,292 hektar luas berhasil 2,149 hektar dan pengeluaran 15,052 tan.
“Untuk daerah Ranau keluasan bertanan setakat ini adalah 1,457 hektar, luas berhasil 178 hektar dengan pengeluaran 440 tan”, jelas Jonathan sambil mengharapkan agar masyarakat tani di daerah Ranau mengambil peluang dan terus melibatkan diri dalam pembangunan tanaman durian.
Justeru untuk kearah itu para pengusaha perlu mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau perladangan Organik seterusnya mendapat pensijilan myGAp atau my Organic untuk memastikan hasil yang dikeluarkan adalah berkualiti dan selamat dimakan.
Beliau juga mengharapkan kepada para pengusaha tanaman durian di Ranau supaya bekerjasama dengan pihak Jabatan Pertanian Sabah dan menyertai program pensijilan yang diadakan supaya tidak tertipu atau terbeli bahan tanaman yang tidak tulen.
“Dengan adanya kemajuan pembangunan tanaman durian sudah tentu mampu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat tani di daerah Ranau.
“Sebagai Ahli Parlimen Ranau, saya sangat menyokong pembangunan tanaman durian khususnya di daerah Ranau agar terus berkembang maju ke hadapan membawa nama daerah kita sebagai pengeluar buah durian yang terbaik dan berkualiti tinggi”, tambah Jonathan.
Majlis berakhir dengan penyampaian Sijil Kehadiran kepada para peserta juga disempurnakan Datuk Jonathan disaksikan Pegawai Daerah Ranau, Tinus Bin Manggam, Pegawai Pertanian Daerah Ranau, Kalvin Kaliun dan Ketua Pegawai Perhubungan pejabat Parlimen Ranau.