Jackrison menerima borang keahlian KDM daripada Jufry.
NABAWAN: Seramai 180 orang dari kampung Malampoi menyerahkan borang bagi menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan bekas Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Peter Anthony.
Borang permohonan itu diserahkan oleh Ketua Penaja Cawangan KDM Malampoi Jufry Omopor kepada Ketua Penyelaras KDM DUN Nabawan Jackrison Kilan pada majlis ringkas di kampung itu baru-baru ini.
Penyertaan mereka ke dalam parti KDM itu adalah perintis kepada penubuhan beberapa lagi cawangan di DUN Nabawan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Jackrison berkata ini membuktikan bahawa KDM memperoleh keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Sabah yang melihat kesungguhan KDM memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau turut menyentuh hala tuju parti KDM yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kebaikan dan masa depan yang lebih baik.
“Kita sangat bertuah mempunyai seorang presiden parti yang amat prihatin masalah rakyat.
“Semasa beliau menganggotai kabinet negeri dulu, beberapa projek yang dilaksanakan seperti pembaikan jalan Pensiangan, Pagalungan Dun Nabawan dan juga juga Malaing ke Lumiri dalam DUN Sook, inilah pemimpin yang kita mahu,” kata Jackrison.
Turut hadir mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan Sook Edward Kandok.