29.5 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 27, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Seorang wanita ditikam, wang tunai dianggar RM120,000.00 dibawa lari

DSP Nor Rafidah…..mengiatkan usaha  mengesan suspek.

KENINGAU:Seorang wanita cedera ditikam dan wang tunai yang dianggar berjumlah RM120,000.00 dibawa lari oleh seorang lelaki dalam satu kejadian samun di Tambunan pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP)Nor Rafidah Binti Kasim berkata, Balai Polis Tambunan telah terima satu panggilan telefon lebih kurang jam 2.34 petang mengatakan bahawa rakan wanitanya yang merupakan kerani di salah sebuah pasaraya di pekan Tambunan telah ditikam menggunakan pisau oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di tempat letak kereta, berhampiran Terminal Bas Tambunan-Keningau, Pekan Tambunan. 

“Kes berlaku semasa mangsa seorang wanita tempatan berumur 24 tahun bersama rakannya lelaki tempatan 20 tahun telah menaiki kenderaan dan meletakkannya di tempat letak kereta berhampiran dengan Terminal Bas Tambunan-Keningau, Pekan Tambunan. Kemudian mangsa bersama rakannya telah bergerak menuju ke Alliance Bank Pekan Tambunan” katanya dalam satu kenyataan media selepas kejadian.

Jelasnya, apabila sampai berhampiran dengan bank, mangsa mengatakan bahawa mykad miliknya tertinggal di kereta, mangsa telah berpatah balik seorang diri ke kenderaan tersebut. 

Katanya, semasa mangsa berada dalam kereta untuk mengambil mykad miliknya, seorang lelaki tidak dikenali telah mendatangi mangsa dari arah belakang dan mengentak kepala mangsa di stering dan telah menikam mangsa menggunakan pisau seterusnya melarikan wang tunai yang berada di beg mangsa.

DSP Nor Rafidah memberitahu, mangsa telah menerima rawatan awal di Hospital Tambunan dan dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Buat masa ini katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu katanya, pihak polis IPD Keningau telah mengiatkan usaha  mengesan suspek dengan melancarkan Ops Tutup di sekitar pekan Tambunan.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh menyalurkan maklumat ke pihak polis IPD Keningau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN