Penyelamat memberikan CPR kepada mangsa
RANAU: Seorang pendaki gunung lelaki tempatan di sini ditemui mati terbaring di laluan pendakian oleh pejalan kaki lain ketika mendaki Gunung Kinabalu pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balai Ranau, Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 tengah hari di kilometer 3.2 laluan pendaki Gunung kinabalu.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan kecemasan daripada Malim Gunung melaporkan terdapat pendaki yang tidak sedarkan diri di kilometer 3.2. Lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai sedang dalam perjalanan mendaki gunung itu.
“Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.23 tengah hari melalui Talian Balai dan menggegaskan sepasukan 12 anggota diketuai Pegawai Operasi, PB Reason Justin dan sebuah kenderaan EMRS ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer jauhnya.
“Tindakan awal pasukan MOSAR, membantu anggota Sabah Park dan Malim Gunung memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa dan kemudian membawanya turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson,” katanya.
Bagaimanapun, Ridwan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan KKM dan kemudian diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.30 petang.
Menurutnya, kejadian itu menjadi kes kematian pertama di Gunung Kinabalu dilaporkan tahun ini, dan kes kedua bagi bulan Ogos 2022.