John (tengah) dan lain-lain semasa kempen derma darah anjuran StarSabah di Tamparuli pada hari Rabu
TAMPARULI: Ketua StarSabah Bahagian Tamparuli, John Jinitoh menyeru semua yang layak supaya sentiasa bersedia untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
Beliau berkata semua orang tidak perlu teragak-agak untuk menderma darah kerana pada masa yang sama, mereka juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan diri termasuk pemeriksaan tekanan darah tinggi, diabetes dan sebagainya melalui ujian yang dilakukan sebelum menderma darah.
“Derma darah adalah proses pemeriksaan kesihatan, jadi tidak perlu takut atau bimbang kerana ia ditangani oleh pegawai kesihatan yang berkelayakan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Para penderma darah berkumpul untuk menjayakan kempen derma darah tersebut
“Dikatakan setiap satu daripada tujuh orang yang memasuki hospital memerlukan darah. Satu liter darah boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa. Orang dewasa yang berusia antara 17 dan 110 tahun boleh mendermakan kira-kira satu liter darah.
“Derma yang paling biasa adalah setiap 56 hari, atau setiap dua bulan. Jadi apakah alasan untuk tidak mahu menderma darah? Jika anda sihat, maka menderma darah adalah perbuatan yang mulia,” katanya.
John berkata demikian semasa Kempen Derma darah anjuran bersama StarSabah Tamparuli dan StarSabah Kiulu, bertempat di pekan Tamparuli pada hari Rabu.
Menurut beliau, sambutan sangat menggalakan dan dihadiri oleh lebih 100 orang penderma darah.
Pada penghujung acara tersebut, pihak penganjur berjaya mengumpul sebanyak 75 pack darah.