ADVERTISEMENTspot_img

Seniman Veteran Jalil Hamid Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR, (4 Mei): Dunia hiburan tempatan kehilangan seorang figura berpengaruh apabila pelakon veteran Jalil Hamid, 69, dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Afiqah Jalil menerusi perkongsian di Instagram. Menurut beliau, bapanya dipercayai meninggal dunia dalam keadaan tenang selepas tertidur sejurus selesai menunaikan solat Subuh.

Allahyarham difahamkan ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya di dalam bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia di kediaman mereka.

Menerusi perkongsian sama, Afiqah memaklumkan jenazah akan disolatkan di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya selepas solat Asar hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Allahyarham mempunyai sejarah penyakit jantung dan menjalani rawatan berkala.

Sepanjang lebih empat dekad berkecimpung dalam industri seni, Allahyarham dikenali sebagai antara pelakon serba boleh yang turut aktif dalam bidang nyanyian. Antara karya lakonan yang meninggalkan kesan mendalam termasuk filem Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam, selain drama seperti Cucu Atuk, Beca Usang dan Ayahanda.
Selain lakonan, Allahyarham turut mencuri perhatian menerusi lagu berunsur sindiran dan humor berjudul Ayam yang popular sekitar awal 1990-an.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni negara.

Beliau berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membimbing serta berkongsi ilmu dengan generasi baharu akan terus dikenang.

“Segala karya, dedikasi dan semangat beliau dalam industri seni menjadi inspirasi kepada ramai penggiat seni. Kami mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Pemergian Jalil Hamid disifatkan meninggalkan kekosongan besar dalam industri hiburan tempatan, khususnya dalam bidang lakonan komedi dan drama yang pernah mengangkat namanya sebagai antara ikon seni tanah air.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN