32 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 2, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

SEMUA PIHAK PERLU TAMPIL BANTU KEMPEN KESEDARAN VAKSINASI COVID-19: MASIDI MANJUN

0LEH: ADUKA JASNIN SUMAN


RANAU, 9 Jun 2021 – Semua pihak termasuk pemimpin di peringkat kampung diminta menjalankan kempen bagi meyakinkan penduduk supaya mendaftar sebagai penerima Vaksin Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata, kesedaran penduduk di daerah ini berhubung pentingnya pengambilan vaksin tersebut masih rendah.

Katanya, pendaftaran Vaksinasi Covid-19 melalui MySejahtera bagi daerah Ranau setakat ini jauh daripada sasaran, apabila hanya 14,934 orang yang mendaftar daripada 78,200, menunjukan masih kurangnya kesedaran dalam kalangan penduduk khusunya mereka yang tinggal kawasan pedalaman.

“Vaksinasi secara besar-besaran akan bermula  pada Julai dan Ogos depan  apabila bekalan vaksin yang lebih banyak akan sampai.

“Agihan jumlah vaksin kepada setiap daerah adalah mengikut peratusan yang telah mendaftar. Jangan kita ketinggalan atau terpaksa menunggu lama kerana gagal mendaftar,” katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Justeru, untuk melancarkan proses imunisasi Covid-19, pemimpin peringkat akar umbi khususnya Ketua Kampung, Pengerusi JPKK, pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) termasuk ketua-ketua cawangan parti politik, perlu berkerjasama untuk mengadakan kempen kesedaran Vaksin Covid-19.

Jelas Masidi yang juga ADUN Karanaan, pengambilan vaksin adalah sangat penting sebagai satu langkah pencegahan, bagi menghalang seterusnya memutuskan penularan wabak  COVID-19.

Menurutnya, pengambilan vaksin adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai membuat amalan yang baik untuk kesihatan diri sendiri, orang sekeliling dan masyarakat secara keseluruhannya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Ranau, Doktor Fionna Vincent Bizini, ketika dihubungi Borneo Daily Bulletin hari ini berkata, setakat 9 Jun 2021, hanya seramai 6,116 penerima suntikan vaksin dos pertama ( berumur 18 tahun keatas) daripada 78,200 yang sepatutnya 

Jelas Dr. Fiona, jumlah tersebut masih rendah iaitu hanya 7.82 peratus.

Dalam pada itu, Dr Fiona memberitahu, bermula Jun ini,  Klinik-Klinik Kesihatan di daerah ini termasuk Dewan Masyarakat Ranau, akan memberikan vaksinasi secara harian.

Menurutnya, pemberian vaksinasi di lokasi-lokasi tersebut secara harian membolehkan proses akan berjalan lebih lancar berbanding sebelum ini.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN