GIMIK PERASMIAN..Alijah (tengah) bersama dif jemputan lain semasa Majlis Penutupan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2025 Peringkat Negeri Sabah di The Piazza Harbour Mall, Sandakan, pada Sabtu
SANDAKAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, sembilan daripada 10 orang dewasa di Sabah (94.1 peratus) mengalami masalah gigi berlubang.
Menurut beliau, Sabah mencatatkan peratusan tertinggi masalah gigi berlubang dalam kalangan orang dewasa di Malaysia, menurut Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa 2020 (Nohsa 2020).
Masalah ini, katanya, adalah berpunca antaranya daripada diet tinggi gula dan asid serta amalan penjagaan gigi yang lemah.
“Ramai penduduk, terutamanya di kawasan luar bandar, tidak mengamalkan penjagaan mulut yang baik,seperti memberus gigi dengan betul dan menjalani pemeriksaan berkala di klinik pergigian,” katanya.
Bagi kanak-kanak pula, Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Kanak-kanak Prasekolah 2015 (NOHPS 2015) mendapati 82 peratus kanak-kanak berusia lima tahun di Sabah mengalami kerosakan gigi, dengan purata hampir tujuh batang gigi rosak bagi setiap kanak-kanak.
“Kajian lain iaitu Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Pelajar Sekolah (NOHSS 2017) pula menunjukkan 63.3 peratus pelajar berusia 12 tahun turut menghadapi masalah sama,” katanya.
James berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2025 Peringkat Negeri Sabah di The Piazza Harbour Mall, Sandakan, pada Sabtu. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Alijah Ismail.
Hadir sama, Adun Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson, Dr Muhammad Jikal mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Maria Suleiman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) Sabah, Dr Thaddius Herman Maling, Pegawai Pergigian Kawasan Sandakan, Dr Asmahani Aziz dan Pengerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekrasi Pergigian Sabah (Butiza), Dr Lynnora Patrick Majawit.
James berkata Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sabah telah melaksanakan pelbagai usaha meningkatkan kesedaran dan penjagaan kesihatan gigi seperti program jangkau luar, perkhidmatan pergigian bergerak ke sekolah serta penyediaan rawatan kepakaran di klinik kerajaan.
Jelasnya,kerajaan turut berusaha memperluaskan akses perkhidmatan ke kawasan luar bandar serta memperkukuh pendidikan kesihatan pergigian untuk mengurangkan kadar kerosakan gigi dan masalah gusi.
Minggu Promosi Kesihatan Pergigian yang berlangsung dari 7 hingga 13 Julai di seluruh negara tahun ini bertemakan “Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Pergigian”.
Program anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sabah bersama Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Sandakan dan Butiza itu juga melibatkan penyertaan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.
James turut menyeru rakyat Sabah menjalani pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun, sama ada di klinik kerajaan atau swasta.
“Satu cara mudah untuk ingat adalah dengan amalan ‘Ingat Hari Jadi,Ingat Doktor Gigi’,” katanya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat menyertai Kempen 60:20, yang menyasarkan setiap individu memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi kekal apabila mencapai umur 6o tahun.
“Kita mahu menua dengan sihat dan memiliki gigi yang berfungsi, agar kualiti hidup dapat dikekalkan,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan pentingnya meningkatkan penggunaan perkhidmatan pergigian bertauliah serta menyebarkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mulut.
Sementara itu, Dr Muhammad Jikal yang mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berkata, program promosi kesihatan pergigian itu merupakan inisiatif tahunan penting untuk menggalakkan penjagaan kendiri dan pengesanan awal penyakit gigi.
Katanya, pemeriksaan berkala perlu dijadikan amalan agar sebarang masalah dapat dikenal pasti lebih awal sebelum menjadi serius.



