GENERASI MUDA: Antara beliawanis yang menyertai Perarakan Merdeka peringkat Kg.Tontolob Liwan.
TAMBUNAN: Penglibatan semua pihak adalah amat penting dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan para pejuang terdahulu untuk melepaskan tanah air daripada kuasa penjajah.
Untuk ke arah itu bagi menyamarakkan suasananya, Laungan Merdeka menjadi ‘Laungan Keramat’ penduduk di seluruh negara sama ada peringkat pelusuk desa, daerah, negeri dan kebangsaan bermula 31 Ogos sehinggalah sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.
Seperti yang diadakan di Kampung Tontolob Liwan di sini, telah menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan (Hari Kemerdekaan) pada 31 Ogos lalu melibatkan ratusan penduduk menjayakannya dengan pelbagai acara termasuklah Perarakan Merdeka sejauh setengah kilometer sebagai acara utama, bermula dari pusat Kampung menuju ke Pondok Tagal Madsangoh lokasi majis itu diadakan yang perasmiannya telah disempurnakan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, mewakili Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Benedict dalam ucapannya antara lain, memuji usaha penduduk untuk mengadakan pelbagai acara bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66 tahun yang bertemakan, Malaysia Madani, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
“Tahniah atas kejayaan penduduk kampung ini kerana berinisiatif menganjurkan sambutan meskipun secara sederhana namun meriah dengan penglibatan penduduk tanpa mengira usia, agama dan fahaman politik”, jelas Benedict.
Menurutnya lagi, penglibatan dan sokongan semua pihak amat penting sebagai mengenang jasa pengorbanan dan usaha para pemimpin terdahulu memperjuangkan kemedekaan di tangan kuasa asing.
“Semuanya itu perlu kita hayati bersama terutama golongan generasi muda yang harus mengingati tarikh Hari Kemerdekaan negaranya sendiri”, tegas Benedict.
Turut hadir pada majlis itu ialah, rombongan daripada Staf Pejabat Khidmat Rakyat P.179 Ranau.
           Â