KENANGAN……..Suhaimi (kiri), Syukry (dua kanan) dan dua jemputan lain serta penduduk Kg. Terolobou merakam gambar kenangan bersama Datuk Jonathan (tengah) sempena program tersebut.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Semangat patriotisme dan perpaduan terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat Kampung Terolobou menerusi Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang berlangsung di Dewan Kampung Terolobou, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Belia Kampung Terolobou dengan kerjasama Perpustakaan Desa Kampung Terolobou itu menjadi platform menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh semangat kenegaraan.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang merasmikan program itu berkata, erti kemerdekaan tidak seharusnya terhenti pada sambutan tahunan atau kibaran Jalur Gemilang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan hidup bermasyarakat.
Menurutnya, sikap saling menghormati, bekerjasama dan menjaga keharmonian perlu terus dipupuk kerana perpaduan menjadi asas penting kepada kekuatan sesebuah masyarakat.
“Semangat kemerdekaan perlu diteruskan dalam kehidupan seharian, terutama dengan memastikan hubungan sesama masyarakat disentiasa kukuh dan harmoni,” katanya dalam ucapan pada program berkenaan.
Jonathan berkata, masyarakat akar umbi mempunyai peranan besar dalam menyemarakkan patriotisme, khususnya dengan melibatkan golongan belia dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, penglibatan aktif generasi muda bukan sahaja membantu membentuk jati diri dan rasa tanggungjawab, malah menjadi landasan untuk melahirkan generasi yang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negara.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara.
Menurutnya, masyarakat yang bersatu padu lebih bersedia menghadapi cabaran semasa, selain mampu bergerak bersama dalam membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan masing-masing.
Penganjuran program seumpama itu juga, katanya, mampu merapatkan hubungan antara pemimpin, pertubuhan masyarakat dan penduduk melalui penglibatan bersama dalam aktiviti berteraskan kenegaraan.
Hadir sama ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN N.37 Karanaan, Suhaimi Manjun, Ketua Pegawai Digital (CDO), N.37 Karanaan, Syukry Saridih, rombongan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau serta penduduk Kampung Terolobou.
Program itu membawa tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, Jiwa Merdeka, Semangat Perpaduan, Masa Depan Gemilang”, selaras dengan usaha memperkukuh penghayatan kemerdekaan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.



