Api sedang marak
RANAU : Sebuah rumah musnah selepas terbakar dalam kejadian yang berlaku di Kg.Sinisian Kundasang, di sini pagi tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika mengesahkannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.26 pagi berhubung kejadian itu.
Katanya, sejurus menerima panggilan, beliau dan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT), van unit kecemasan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti.
“Tiba di lokasi dari jarak kira-kira 14 kilometer, mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 20×30 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak mengawal dan memadam kebakaran melalui satu aliran dengan dua pancutan air dari pili bomba sejauh 300 kaki ke jentera bomba.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya jam10.23 pagi dan operasi ditamatkan jam11.05 pagi.
“Mujur tiada mangsa terlibat dalam insiden itu. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada media.
Menurut Ridwan, operasi itu turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB). http://BorneoDailyBulletin




