GAMBAR: Robert (depan tiga dari kanan)bersama rombongan semasa melawat jalan Kampung Dangulat yang sudah siap dibina.
Oleh:Marutin Ansiung
KENINGAU:Hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin melaksanakan amanah rakyat dan program turun padang di kawasannya.
Dalam program turun padang ini Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya melawat projek pembinaan jalan kampung yang telah siap dibina di Kampung Dangulad.
Beliau berkata, tujuan lawatan ini adalah bagi memastikan kualiti pembinaan jalan tersebut sama seperti yang telah dirancang demi manfaat penduduk kampung.
“Saya akan cuba lakukan yang terbaik demi penduduk di kawasan saya. Justeru itu saya akan memantau segala projek pembangunan yang dilaksanakan agar ia memberi manfaat kepada penduduk” katanya.
Pada hari yang sama beliau melawat projek naik taraf jalan kampung di Kampung Tigot.
Kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada penduduk kampung khususnya petani yang selama ini terpaksa menggunakan jalan tanah liat dan berlumpur serta tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil apabila hujan.
Lawatan ini bagi memastikan pelaksanaan projek itu berjalan dengan lancar dan kualitinya sesuai seperti yang telah dirancang.
Robert (kanan)semasa meninjau hakisan tebing Sungai Pegalan di Kampung Tigot.
Robert turut meninjau dan mengenalpasti hakisan tebing Sungai Pagalan di Kampung Tigot, yang membimbangkan para penduduk kampung.
Turut sama pada lawatan ini Pemimpin Pembangunan Masuarakat (PPM) Bingkor Junior Fred. wakil daripada Pusat Khidmat Parlimen Keningau Janerowey Bundoi. Pengerusi JPKK Kampung Dangulad Samson Nasar dan Pengerusi JPKK Kampung Tigot Pius dan kakitangan Pejabat UPPM Bingkor.