Sampai bila rakyat jadi korban pemandu mabuk?

Home Nasional Sampai bila rakyat jadi korban pemandu mabuk?
Sampai bila rakyat jadi korban pemandu mabuk?

Foto-SinarHarian

KES kematian akibat kecuaian pemandu lain yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Malaysia terus berlaku.

Bagi tempoh lima bulan pada 2020, sejumlah 67 kes kemalangan dengan tiga kematian dicatatkan dan ia melebihi kes keseluruhan pada tahun 2018 iaitu 60 kes kemalangan serta tiga kematian.

Tahun 2019 pula merekodkan 56 kes kemalangan dengan empat kematian.

Biarpun data terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kadar kematian di jalan raya berpunca daripada pengambilan alkohol di Malaysia adalah antara terendah berbanding negara serantau lain, ia tetap menggusarkan banyak pihak kerana ia membahayakan nyawa orang lain.

Terbaru dua remaja masing-masing berusia 18 dan 19 tahun maut apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di Lebuh Raya Persekutuan pada awal pagi Ahad dan pemandu terbabit pula disahkan positif ganja.

Apa yang diharapkan ialah keadilan kepada keluarga mangsa berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang telah diluluskan Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum dikuat kuasa pada 23 Oktober tahun lalu.

Akta itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Pindaan akta ini sekali gus membawa hukuman yang lebih berat untuk kesalahan-kesalahan lalu lintas khususnya berkaitan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengguna jalan raya di negara ini perlu diingatkan bahawa menerusi Sekysen 41 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan, ia memperuntuk hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dengan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 selain pesalah hilang kelayakan lesen memandu sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

Kerajaan juga telah mengambil langkah meminda Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi memastikan keselamatan di jalan raya dan dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya terhadap pematuhan undang-undang. –By Sinar Harian