Oleh: MARRYAN RAZAN
KOTA KINABALU: Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah yang julung kalinya diadakan disambut dalam suasana ceria dan meriah.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan itu yang dianjurkan Kelab Rekreasi dan Kebajikan KPLB Sabah merupakan satu inisiatif kementerian untuk mewujudkan suasana harmoni dikalangan anggota perkhidmatan awam di kementerian ini.

“Melalui perayaan seumpama ini, kita dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dan persahabatan diantara pegawai dan kakitangan kementerian ini, seterusnya mewujudkan semangat kerjasama untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat luar bandar.
“Sebelum ini kita mengadakan sambutan yang sama untuk Krismas dan Hari Raya. Kita akan teruskan amalan ini dan sebagai Menteri KPLB Sabah, saya akan terus memberi sokongan agar sambutan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina 2020, di Dewan KPLB Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat dan para pegawai serta kakitangan KPLB Sabah.

Dalam hal lain, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah 2021-2025 (bagi Rancangan Malaysia ke-12) dijangka akan dilancarkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada 24 Februari ini.
Katanya, pelancaran itu serentak dengan pelancaran inisiatif pendigitalan KPLB Sabah, Sistem Profile Kampung Sabah sempena perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah seluruh Sabah.

“KPLB Sabah menyediakan satu Pelan Stratgik Pembangunan Luar Bandar Sabah yang merangkumi pelbagai teras, dasar, strategi dan program yang akan dilaksanakan oleh kementerian dengan kerjasama kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi lain serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mensejahterakan kawasan luar bandar dan membasmi kemiskinan,” katanya.
Pelbagai acara menarik diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina KPLB Sabah termasuk tarian singa, tarian naga dan persembahan koir dari pegawai dan kakitangan KPLB Sabah. -TAMAT-



