OSMAN (tengah) dan Zulkifli (tujuh dari kiri) bersama etnik Bisaya. Turut kelihatan Esther (kanan sekali)
LABUAN: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2023 yang disambut serantak di Seluruh Negara mampu menyemarakkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Demikian kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hasim ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Labuan di Kawasan Letak Kereta Arena Gelanggang Boling Padang Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.
Program yang berlangsung selama dua hari (Sabtu hingga Ahad) dirasmikan pelancaranya oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Datuk Osman Che Jusoh mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd. Ismail.
CENDERAHATI…Osman yang diringi Zulkifli dan Esther menerima cenderahati daripada masyarakat India yang menyertai SMP
Hadir sama, Pengarah JPNIN Labuan, Esther Dingkawan, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Sidek dan pengerusi-pengerusi persatuan kaum etnik yang menyertai sambutan itu.
Menurut Hashim SMP 2023 yang disambut di 15 lokasi di seluruh negara juga bertujuan untuk merapatkan hubungan antara etnik disamping menyebarkan kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat resam dan budaya dalam masyarakat Malaysia.
Sementara itu, pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang SMP berlangsung antaranya pameran rumah etnik (Rumah Kami) yang disertai oleh tujuh buah kumpulan etnik, Bisaya, Kadazan Dusun, Kadayan, Brunei, Cina, Dayak dan juga India.
SMP turut dimeriahkan lagi dengan pertandingan Nyanyian Suara Perpaduan, Pertandingan Busana Etnik Malaysia dan pertandingan sukaneka Perpaduan dan Autoshow Perpaduan.
Turut mengambil bahagian ialah pameran daripada pelbagai agensi kerajaan antaranya PDRM, KPDNK, Muzium Labuan dan JPNIN selaku penganjur.