Oleh SALWAH ARAMAT
RANAU : Meskipun hujan turun agak lebat diawal pagi, namun tidak menghalang semangat ratusan masyarakat Islam Kg. Napong 1, di sini mengadakan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kampung itu pada Ahad.

Perarakan yang diketuai Pengerusi Masjid Kg. Napong 1, Ustaz Azli Bin Lojumin bermula dari perkarangan Masjid menuju Dewan Mini kampung berkenaan dimana telah diadakan pelbagai acara termasuklah Ceramah Agama, bertajuk ‘Maulidur Rasul’ yang disampaikan Pengetua Tahfiz Kg. Silou Ranau, Ustaz Ismail Bin Hassan.
Turut diadakan, penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Hafazan, Nasyid, Bola Sepak dan Bola Tampar.
Perasmian disempurnakan, Penasihat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ranau, Ustaz Mohd. Sabri Abdullah.

Bertemakan ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’, Mohd. Sabri Abdullah memuji inisiatif dan komitmen masyarakat Islam Kg. Napong 1, kerana menganjurkan program itu sebagai wadah memperingati sejarah kelahiran dan perjuangan Nabi Muhammad S.W.T menegakkan syiar islam seluruh dunia.
Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul bukan sahaja dianjurkan diperingkat bandar dan pekan malah dipelusuk desa sebagai bukti kecintaan terhadap Rasullullah S.W.T.

Mohd Sabri seterusnya menyarankan kepada para ibu bapa supaya membimbing dan mendidik anak-anak agar cintakan Al-Quran dengan menguasai pembacaan dan memahami kandungannya sebaik mungkin sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat.
“Ibu bapa punyai peranan dan tanggungjawab mendidik anak-anak supaya mengetahui kandungan Al-Quran selain kepentingan dalam aspek akademik”, jelasnya.
-Ustaz Sabri-
Turut berucap ialah Pengerusi masjid merangkap Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Ustaz Azli Bin Lojumin, sementara hadir sama ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Napong 1, Elvin Bin Julin diserikan dengan persembahan selawat nabi dan qasidah oleh pelajar Tahfiz Kg. Silou.
T A M A T




