ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Jubli Perak Fr Jalius Serlahkan Kepentingan Warisan Iman dan Panggilan Kepaderian

Fr Jalius (tengah) bersama Jonathan dan yang lain di majlis sambutan tersebut


RANAU: Sambutan Ulang Tahun Pentahbisan Kepaderian ke-25 Rev. Fr. Jalius Joannes Sading di Gereja St Victor Bongkud pada Sabtu lalu bukan sahaja menjadi medan kesyukuran atas perjalanan pelayanannya selama suku abad, malah turut membawa mesej penting mengenai warisan iman, peranan komuniti dalam melahirkan panggilan religius serta keperluan menyediakan generasi pelapis untuk Gereja.


Dalam ucapannya, Fr. Jalius menyifatkan perjalanan menjadi seorang paderi bukanlah perjalanan peribadi semata-mata, sebaliknya merupakan hasil perjalanan iman seluruh komuniti Bongkud yang telah berjalan bersama-sama sehingga berjaya melahirkan seorang paderi daripada kalangan mereka sendiri.


“Perjalanan menjadi paderi bukan perjalanan saya seorang, tetapi perjalanan komuniti Bongkud. Tanpa iman dan komitmen umat di sini, perayaan 25 tahun ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.


Beliau turut memberi penghormatan kepada generasi pertama umat Kristian di kampung itu yang telah membuka jalan kepada generasi seterusnya untuk mengenali dan menghayati iman Katolik.


Menurut beliau, asas iman yang dibina oleh para perintis Gereja di kampung tersebut telah menjadi benih yang akhirnya membentuk generasinya dan membuka jalan kepada panggilan kepaderian yang diterimanya.


Menyentuh pengalaman sepanjang 25 tahun pelayanan, Fr. Jalius mengakui beliau telah melalui pelbagai peristiwa suka dan duka. Namun beliau memilih untuk menyimpan kenangan yang baik-baik sebagai sumber kekuatan dalam meneruskan pelayanan.


“Ada banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang menjadi paderi, tetapi yang baik-baik itulah yang saya simpan. Yang tidak baik tidak perlu dikenang kerana hanya memeningkan kepala dan membebankan hati,” katanya.


Beliau berkata kejayaan terbesar sepanjang pelayanannya bukanlah pencapaian duniawi, tetapi peluang untuk melaksanakan sakramen-sakramen Gereja yang menjadi tugas utama seorang paderi.
Menurutnya, seorang paderi dipanggil untuk hidup demi orang lain serta menjaga kebajikan rohani umat.


“Apabila melihat umat melangkah setiap hari, mereka melangkah untuk mencari rezeki. Tetapi langkah seorang paderi adalah untuk ‘mencari jiwa’, menjaga kebajikan orang lain dan hidup untuk orang lain. Itulah yang memberikan kegembiraan kepada saya,” katanya.


Fr. Jalius turut melahirkan harapan agar lebih ramai golongan muda tampil menyahut panggilan menjadi paderi dan biarawati pada masa hadapan memandangkan keperluan pelayanan Gereja yang semakin meningkat.


Beliau menyambut baik cadangan untuk mengadakan sambutan khas bagi menghargai semua paderi dan biarawati yang berasal dari Ranau serta mewujudkan sebuah plak khas yang memaparkan nama-nama mereka sebagai inspirasi kepada generasi muda.


Menurut beliau, usaha itu mampu menjadi simbol penghargaan terhadap para religius yang telah berbakti kepada Gereja serta memberi dorongan kepada generasi akan datang untuk mempertimbangkan panggilan hidup sebagai paderi atau biarawati.


“Sekurang-kurangnya kita memerlukan empat orang paderi untuk melayani umat di Ranau. Jika hanya dua orang, memang sukar untuk memenuhi keperluan semua umat, terutama di kawasan stesen luar,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar warisan Kristian yang telah bertapak kukuh di Bongkud terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Antara hasrat yang disuarakannya ialah usaha memulihkan menara loceng lama gereja yang merupakan satu-satunya peninggalan bangunan kapel lama di kampung tersebut.


Beliau berkata menara loceng itu mempunyai nilai sejarah dan sentimental yang amat besar kerana menjadi saksi perkembangan awal Gereja di Bongkud.


“Apabila saya mendengar bunyi loceng itu suatu ketika dahulu, ia seolah-olah Tuhan memanggil anak-anak-Nya untuk datang ke gereja. Menara itu juga menjadi kenangan kepada mereka yang telah pergi mendahului kita dan warisan untuk generasi yang akan datang,” katanya.


Fr. Jalius turut menggesa umat agar terus setia dalam pelayanan Gereja dan memainkan peranan dalam mewariskan iman kepada anak-anak serta generasi muda.


Sambutan Jubli Perak tersebut dimulakan dengan Perayaan Misa Kudus yang disusuli upacara pelepasan burung merpati sebagai simbol keamanan dan kesyukuran. Acara diteruskan dengan pemotongan kek, jamuan makan bersama, cabutan tiket bertuah serta pelbagai persembahan pentas di Dewan Gereja St Victor Bongkud.


Turut memeriahkan sambutan ialah kehadiran para biarawati dari beberapa paroki termasuk Kota Kinabalu dan Kota Belud serta umat Katolik dari pelbagai kawasan.


Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, wakil UPPM Paginatan Petin Kilou, Timbalan Pengerusi MPP Ranau Virus Pinol, Pengerusi Zon Bongkud Vitus Sading, ketua-ketua kampung serta para pemimpin masyarakat setempat.


Sambutan tersebut bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap 25 tahun pelayanan seorang paderi, malah mengingatkan umat bahawa panggilan religius lahir daripada benih iman yang disemai oleh komuniti dan dipelihara oleh generasi demi generasi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN