32 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Hari Komuniti kali ke-8 dan ulang tahun ke-24 pewartaan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Justinus (tengah) dan yang lain pada perasmian majlis di Timpohon Gate, Taman Kinabalu

KUNDASANG: Sambutan Hari Komuniti kali ke-8 dan ulang tahun ke-24 pewartaan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah manifestasi kejayaan dalam membina hubungan kukuh antara manusia, budaya, dan alam semula jadi.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Abdul Razak Bin Jamil, berkata, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan penglibatan komuniti yang menjadi Rakan Taman setia dalam usaha ini.

”Pendekatan Amalan Pengurusan Terbaik (Best Management Practic) Taman-Taman Sabah, menekankan kepentingan keterlibatan komuniti secara langsung dalam semua aspek pengurusan.

”Taman-Taman Sabah telah melaksanakan pendekatan ini dengan jayanya melalui program seperti pemberian permit kepada komuniti untuk mengusahakan tanah dalam kawasan taman secara terkawal.

”Permit ini bukan sahaja menyelesaikan isu tanah tetapi juga memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat dalam aktiviti ekopelancongan, yang menyokong pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Melalui inisiatif ini, Abdul Razak berkata, komuniti bukan sahaja menjadi Rakan Taman tetapi juga pemilik bersama tanggungjawab untuk melindungi tapak warisan ini.

Tambah beliau, garis panduan UNESCO yang menekankan kerjasama, pendidikan, dan pembangunan mampan telah membantu membentuk dasar pengurusan yang inklusif di Taman Kinabalu.

”Antara tahun 2012 hingga 2024, pelbagai pencapaian telah dicapai dalam usaha melibatkan komuniti. Program Hari Komuniti menjadi medium utama untuk mendekati masyarakat setempat, sambil menggalakkan pemuliharaan dan pembangunan ekonomi.

”Selaras dengan teras ke-8 Pelan Strategik Taman-Taman Sabah 2015–2025, hubungan dengan pemegang taruh terus diperkukuhkan melalui strategi seperti membangun rakan taman dan program pendidikan.

”Inisiatif seperti permit ekopelancongan telah membuka peluang kepada komuniti untuk terlibat dalam aktiviti pelancongan secara langsung, sementara pemberian permit mengusahakan tanah menyelesaikan konflik lama antara komuniti dan pengurusan taman,” katanya.

Menurut Abdul Razak lagi, semua langkah ini bukan sahaja menyokong kestabilan sosial tetapi juga memastikan keberlangsungan ekonomi komuniti di sekitar Taman Kinabalu.

Pencapaian ini, katanya, menjadi bukti bahawa pendekatan amalan pengurusan terbaik yang melibatkan komuniti secara aktif mampu membawa kejayaan yang luar biasa.

Tambahnya lagi, strategi ini telah memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dimana pengurusan taman mendapat sokongan masyarakat, sementara komuniti memperoleh manfaat ekonomi dan sosial daripada penglibatan mereka.

Abdul Razak berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Komuniti Kali Ke-8 Dan Ulangtahun Pengisytiharan Kali Ke-24 Unesco Tapak Warisan Dunia, Taman Kinabalu yang diadakan di sini baru-baru ini.

“Majlis ini menjadi bukti perjalanan panjang kita dalam melindungi warisan alam semula jadi dan budaya yang kaya, dengan penglibatan aktif komuniti sebagai tunjang utama kepada kelasterian khazanah alam kita.

“Sambutan Hari Komuniti yang dimulakan pada tahun 2011 telah berkembang menjadi platform penting terhadap hubungan sesama komuniti dengan Taman-Taman Sabah serta pemegang taruh Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu.

“Ianya juga merupakan satu program yang jelas mampu untuk melestarikan budaya komuniti disamping keterlibatan komuniti dalam penjagaan alam sekitar melalui hubungan yang baik dengan Gunung Kinabalu.

“Hari Komuniti, bukan sekadar satu perayaan, tetapi satu peluang untuk kita memperkukuh usaha pemuliharaan dan kerjasama dalam pengurusan mampan Taman Kinabalu, sejajar dengan prinsip dan garis panduan UNESCO serta matlamat Taman-Taman Sabah,” kata beliau.

Komuniti tempatan Gunung Kinabalu berkumpul beramai-ramai untuk meraikan acara tahunan itu di sini

Menurut Abdul Razak lagi, sejarah Hari Komuniti bermula dengan hasrat untuk mengiktiraf peranan penting komuniti tempatan dalam pengurusan Taman Kinabalu.

Pada tahun 2011, katanya, isu berkaitan sensitiviti adat istiadat seperti upacara Monolob telah menimbulkan keperluan untuk mendalami hubungan antara pengurusan Taman-Taman Sabah dan komuniti setempat.

Justeru, katanya, Taman-Taman Sabah bertindak balas dengan memperkenalkan pendekatan lebih mesra komuniti, yang bukan sahaja menyelesaikan isu tersebut tetapi juga mencetuskan inisiatif Hari Komuniti sebagai platform untuk mendekati masyarakat secara lebih menyeluruh.

”Dasar pengurusan komuniti yang dirangka oleh Taman-Taman Sabah menekankan pendekatan bottom-up, di mana komuniti dilibatkan dalam proses membuat keputusan dan pelaksanaan aktiviti pemuliharaan, terutama yang terkait dengan adat istiadat komuniti terbabit.

”Bagi memastikan hubungan komuniti dengan Taman-Taman Sabah dapat terus dikukuhkan dan mapan serta teratur dengan baik, Taman-Taman Sabah dan pihak komuniti telah bersepakat dan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pemegang Adat Gunung Kinabalu atau ’Council of Elders’ (COE).

”COE ini berperanan sebagai penasihat kepada pengurusan taman dalam hal-hal adat, termasuk pelaksanaan upacara Monolob, yang memohon izin daripada penjaga spiritual Gunung Kinabalu untuk aktiviti pendakian.

”COE juga menjadi platform penting untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisional, adat istiadat, dan kepercayaan tempatan, yang kemudiannya diperturunkan kepada generasi muda,” katanya.

Abdul Razak memberitahu, UNESCO telah menggariskan lima prinsip utama dalam pengurusan Tapak Warisan Dunia, yang dikenali sebagai 5C’s: Credibility (Kredibiliti), Conservation (Pemuliharaan), Capacity-Building (Pembangunan Kapasiti), Communication (Komunikasi), dan Community (Komuniti).

Beliau memberikan penghargaan kepada semua pihak khususnya komuniti tempatan, kakitangan Taman-Taman Sabah, Pejabat Daerah Ranau, Kota Belud, Kota Marudu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, KKM dan Pemegang Taruh Taman Kinabalu yang telah menjayakan program tersebut.

Turut hadir Pengarah Taman-Taman Sabah Dr. Maklarin Bin Lakim, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, wakil Pegawai Daerah Kota Belud, Ranau dan Kota Marudu, Ketua Balai Bomba Ranau Ridhwan Mohd. Taib, Ketua Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Hari Komuniti Kali Ke-13 Dan Sambutan Ulangtahun Perisytiharan Taman Kinabalu Sebagai Tapak Warisan Dunia Kali Ke-24 Justinus Guntabid, dan lan-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN