MESYUARAT PERSEDIAAN …Sapdin (tengah) sebelum mempengerusikan mesyuarat. Turut kelihatan Ahmadshah (kanan),Ag Buhtamam (dua kanan) dan AJP yang lain.
KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Pusat akan mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 20 April 2025 ( Ahad) ini di Dewan Saadah Wisma Muis.
Sambutan yang akan bermula dari jam 11 pagi hingga 3 petang itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan yang dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS, Datuk Haji Sapdin Ibrahim di Bilik Mesyuarat Muis di sini baru-baru ini.
Menurut Sapdin Presiden PMBS yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif akan merasmikan sambutan tahunan itu.
Beliau berkata lebih 350 orang terdiri dari Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS, Ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli PMBS dari 32 cawangan dijangka akan menghadiri sambutan tahunan itu.
‘Setiap cawangan diminta menghantar 10 ahli termasuk ketua cawangan untuk sambutan Aidilfitri ini,’ katanya.
Sapdin berkata pelbagai acara telah disusun untuk memeriahkan sambutan itu antaranya penyediaan pelbagai makanan dan kuih muih tradisi masyarakat Brunei seperti kelupis, tapai, jelurut, pulut panggang, kuih kering dan satay.
Lima buah gerai makanan termasuk sajian kambing golek juga akan disediakan untuk tetamu menjamu selera dengan pelbagai masakan.
Ahli-ahli PMBS dan tetamu jemputan kenamaan juga akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan gambus yang akan mempersembahkan lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu cawangan-cawangan PMBS juga diminta untuk membawa kuih muih Raya secara potluck untuk dihidangkan kepada para tetamu.
Jawatankuasa Penganjur juga memutuskan tempat duduk bagi cawangan-cawangan adalah bebas untuk membolehkan ketua-ketua cawangan dan ahli-ahlinya dapat beramah mesra dengan ahli cawangan yang dengan lain untuk mengukuhkan lagi silatulrahim sesama sendiri.
Selepas mesyuarat itu turut diadakan ialah penubuhan JK Festival Ambuyat PMBS yang dijangka diadakan pada Jun tahun ini di Dewan Kesenian Pekan Membakut.
Turut hadir pada mesyuarat AJK Sambutan itu Naib Presiden, Datuk Hj Ahmadshah Talip, Setiausaha, Norhassan Hj Ismail, Bendahari Datuk Hj Ag Buhtamam Hj Ag Mahmun, Ketua Penerangan Hj Amin Hj Muin,Ahli Jawatankuasa Yayasan Dangsanak Sabah ( YDS), Dr Awang Faisal Assyiffa Awang Rahim dan beberapa orang AJP.



