ADVERTISEMENTspot_img

Salahkan Dua Individu Isu 40% Tidak Wajar – Rowindy

Rowindy

KOTA KINABALU: Tindakan menyalahkan hanya dua pemimpin berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah disifatkan sebagai tidak wajar dan tidak rasional, kata Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO Malaysia, Rowindy Lawrence.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Eldridge Laurence Timis, yang mencadangkan agar Ewon Benedick dan Wilfred Madius Tangau mempertimbangkan peletakan jawatan susulan isu berkenaan yang masih belum diselesaikan.

Menurut Rowindy, isu tuntutan 40 peratus hasil negeri merupakan perkara kompleks yang melibatkan kepentingan seluruh rakyat Sabah dan tidak seharusnya dipolitikkan dengan menuding jari kepada individu tertentu.

“Kenapa isu ini hanya disandarkan kepada dua individu, sedangkan ia melibatkan seluruh rakyat Sabah? Tanpa mengira latar belakang politik, semua pihak seharusnya bersatu dalam memperjuangkan hak Sabah demi masa depan wilayah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyifatkan kritikan terhadap pemimpin yang lantang memperjuangkan isu tersebut sebagai sesuatu yang mendukacitakan.

Rombongan UPKO pada Januari 2024 ketika Ewon mengemukakan cadangan mekanisme kepada Ketua Menteri Sabah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tuntutan berkenaan adalah tanggungjawab bersama, termasuk pemimpin muda, dan semua pihak perlu memainkan peranan secara konstruktif.

“Adalah lebih wajar semua pihak, termasuk pemimpin muda, menyumbang idea serta mencari penyelesaian yang berkesan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu,” katanya.

Mengulas lanjut, Rowindy berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan ke arah penyelesaian isu berkenaan, termasuk cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah selaras dengan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pada 9 Januari 2024, beliau menyertai rombongan Presiden UPKO bertemu Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, bagi mengemukakan cadangan mekanisme tersebut.

Selain itu, katanya, UPKO turut mengadakan sesi perbincangan meja bulat pada 19 Disember yang melibatkan pakar dalam bidang berkaitan bagi memperhalusi cadangan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan menyalahkan mana-mana individu tanpa usaha mencari penyelesaian bersama adalah tidak matang serta tidak membantu dalam memperjuangkan hak Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN