Shahelmey (tengah) menunjukan tanda bagus bersama barisan kempimpinan SAFA selepas mesyuarat
KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh pembangunan bola sepak negeri, khususnya dalam mencungkil bakat baharu serta meningkatkan tahap pengurusan dan kepimpinan sukan itu di semua peringkat.
Presiden SAFA, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata komitmen tersebut dipersetujui dalam Kongres Tahunan SAFA Kali Ke-13 bagi tahun 2025 yang berlangsung di Hotel Pan Borneo di sini hari ini, sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang memacu kemajuan bola sepak Sabah secara menyeluruh.
Menurut beliau, tumpuan utama SAFA adalah memperkasa program pembangunan bakat dengan usaha berterusan mengenal pasti, melatih dan membangunkan pemain berpotensi dari seluruh daerah di Sabah, selain memperkukuh aspek kepimpinan dan pengurusan termasuk kejurulatihan serta sokongan perubatan sukan.
“SAFA turut berbangga dengan pencapaian memberangsangkan pasukan di bawah naungan persatuan itu, khususnya dalam bola sepak wanita yang berjaya mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan serta pernah melayakkan diri ke kejohanan Asia di China pada tahun lalu
“Selain itu, pasukan futsal lelaki Sabah juga menunjukkan prestasi yang positif dan usaha untuk memajukan lagi sukan berkenaan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas perkembangan Sabah FC, Shahelmey menyifatkan kejayaan pasukan itu melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA sebagai satu pencapaian bersejarah selepas kira-kira 27 tahun penantian, sekali gus membuktikan kebangkitan bola sepak Sabah di peringkat nasional.
Perlawanan akhir Piala FA yang dijadualkan berlangsung esok akan menyaksikan Sabah FC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sehubungan itu, beliau menyeru para penyokong Sabah FC khususnya yang berada di Lembah Klang agar hadir memberikan sokongan secara langsung di stadium, sambil menyifatkan kehadiran penyokong sebagai ‘pemain ke-12’ yang mampu meningkatkan moral dan motivasi pasukan.
“Bagi penyokong yang tidak berkesempatan hadir, sokongan dan doa yang diberikan melalui tontonan siaran langsung juga amat bermakna sebagai dorongan kepada para pemain
“Saya yakin terhadap kesiapsiagaan pasukan selepas mengadakan perbincangan bersama barisan jurulatih dan pemain, yang menurutnya menunjukkan tahap semangat dan motivasi tinggi untuk beraksi di pentas final,” jelasnya.
Shahelmey berkata kembalinya beberapa tonggak utama seperti Darren Lok dan Daniel Ting dijangka memberi impak positif terhadap prestasi pasukan, selain meningkatkan keyakinan keseluruhan skuad.
“Kita percaya Sabah FC mampu menampilkan permainan berkualiti dengan semangat juang tinggi. Insya-Allah, semoga kejayaan memihak kepada pasukan Sabah,” tambah beliau



