Christina menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri kepada pengarah Sabah Parks.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah yakin sektor pelancongan mampu mencapai sasarannya iaitu 3 juta ketibaan pelancong menjelang akhir tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata setakat ini, 2.42 juta ketibaan domestik dan antarabangsa berjaya direkodkan sehingga suku ketiga 2024.
“Ini adalah sesuatu yang terpuji dan menunjukkan usaha semua pihak untuk memastikan sektor pelancongan kita berkembang maju dan saya yakin bahawa menjelang akhir tahun, sasaran 3 juta ketibaan pelawat boleh dicapai.
“Kerajaan akan terus meningkatkan infrastruktur pelancongan, dengan memberi tumpuan kepada pelancongan bernilai tinggi dan lestari yang menonjolkan kekayaan semula jadi dan budaya Sabah,” katanya semasa Malam Penghargaan Pelancongan Sabah,pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Tambah Hajiji, masih banyak yang boleh diperbaiki dan dilakukan untuk menarik pelawat ke berkunjung Sabah.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai serta berasa selesa atau berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang kita sudah ada.
“Bagi memberikan saingan dan terus bertahan, kita mesti proaktif untuk mencari dan mempromosikan produk baru serta meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pengunjung dengan baik, tanpa mengira pengunjung baru mahupun yang datang semula ke Sabah.
“Saya gembira bahawa banyak yang telah dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sabah untuk mempromosikan Sabah dan bekerjasama bersama beberapa sektor industri dengan inisiatif yang tidak berat sebelah.
“Saya ingin melihat lebih banyak kerjasama yang inklusif, terutamanya yang melibatkan Sabah Tourism dan pemain industri, baik dalaman mahupun luaran untuk bekerjasama mengembangkan industri pelancongan demi memastikan sektor tersebut kekal sebagai pemacu kritikal ekonomi Sabah,” ujarnya.
Ketua Menteri juga berbangga dengan pertumbuhan positif dan membanggakan dalam pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) yang berupaya memberi manfaat dan membudayakan komuniti tempatan di seluruh Sabah.
“Dengan hanya lima produk ketika projek perintis CoBT diperkenalkan pada tahun 2014, sehingga kini inisiatif ini mempunyai 107 pemilik dan pengendali CoBT yang berdaftar.
“Peningkatan ini dapat memberi manfaat untuk rakyat kita dan saya ingin melihat CoBT dibangunkan secara agresif memandangkan potensi yang besar bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar Sabah,” ujarnya.
Tambahnya, sektor pelancongan merupakan salah satu daripada tiga penyumbang ekonomi tertinggi negeri ini yang menjana pendapatan signifikan serta mencipta banyak peluang ekonomi untuk rakyat.
“Adalah penting untuk melihat bahawa pelancongan juga berfungsi sebagai pemangkin untuk membuka peluang pekerjaan bagi komuniti tempatan kita.
“Ia menyediakan peluang pekerjaan melalui pelbagai industri, termasuk hospitaliti, pengangkutan, guiding, dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Di samping itu juga, rakyat sabah dapat mempamerkan keindahan Sabah dan keunikan budaya bagi memastikan bahawa manfaat pelancongan dapat dinikmati di seluruh Negeri Sabah,” jelasnya.
Beliau juga mengingatkan semua orang bahawa peranan pelancongan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs). -Penerangan-