25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

SABAH TUMPU ISU KAHWIN MUDA, KETIDAKSAMAAN SOSIAL SEMPENA HARI PENDUDUK SEDUNIA 2025

FLOVIA menurunian tandatangan sebagai gimik perasmian

KOTA KINABALU, 31 Julai — Isu perkahwinan awal dan cabaran sosio-demografi di Sabah menjadi tumpuan utama dalam Seminar Kependudukan Negeri Sabah sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 peringkat negeri yang berlangsung di sini, hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk Flovia Ng, mewakili Menteri KPMKR Datuk James Ratib, mengangkat tema “Trend Perkahwinan Awal di Sabah – Kesannya Kepada Institusi Perkahwinan”, bertepatan dengan tema global Hari Penduduk Sedunia 2025, “Memperkasa Golongan Muda Untuk Membentuk Keluarga Yang Mereka Inginkan Dalam Dunia Yang Adil Dan Penuh Cabaran”.

Flovia dalam ucapannya menekankan pentingnya melihat data dan realiti penduduk sebagai satu krisis semasa, bukan isu masa depan, khususnya apabila kadar kesuburan Sabah berada pada tahap rendah 1.5 anak bagi setiap wanita berumur 15–49 tahun pada 2023, jauh di bawah paras penggantian populasi 2.1 anak.

“Negeri ini berdepan pelbagai cabaran termasuk perkahwinan awal, kehamilan tidak dirancang, tekanan psikososial remaja, dan ketidaksamarataan antara komuniti bandar dan luar bandar. Jika tidak ditangani, ia akan menyumbang kepada kitaran kemiskinan serta keciciran pendidikan,” katanya.

Menurut beliau, antara usaha menangani isu perkahwinan awal adalah pelaksanaan Program Isu Perkahwinan Awal Kanak-kanak (MIPA) oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sejak 2023, yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 1,092 peserta di beberapa daerah seperti Tongod, Tenom, Kemabong, Pagalungan, Nabawan, Ranau, Telupid dan Kota Belud.

Beliau turut menyentuh keperluan sistem sokongan keluarga yang inklusif dan holistik termasuk pendidikan keibubapaan, kaunseling, dan dasar mesra keluarga di tempat kerja bagi membolehkan ibu bapa berperanan secara berkesan dalam era digital dan kecerdasan buatan.

Selain fenomena kahwin muda, Sabah juga dilihat memasuki fasa penuaan penduduk dengan peratusan warga emas kini mencecah 9.0 peratus, memerlukan sistem kesihatan dan komuniti yang lebih mesra usia serta perancangan jangka panjang.

“Struktur penduduk negara sedang berubah pantas. Dulu cabarannya adalah pembangunan kapasiti penduduk muda. Hari ini, kita berdepan isu penuaan penduduk dan penurunan kadar kesuburan,” katanya.

Beliau menyifatkan forum yang diadakan sempena seminar tersebut sebagai platform penting merumus dasar dan langkah intervensi lebih berkesan dalam menangani isu kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif, terutamanya dalam kalangan pasangan muda.

Flovia turut memuji usaha Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah yang menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi negeri bagi menjayakan sambutan Hari Penduduk Sedunia peringkat negeri buat pertama kali tahun ini.

“Kita mahu generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan teknologi, tetapi juga bertanggungjawab, berjiwa besar dan berperanan aktif dalam membangunkan negeri dan negara,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN