Jeffrey ketika perbincangan di Sesi Libat Urus CCUS.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan iklim Sabah (SCAC) yang bertindak dalam menetapkan hala tuju dan menyelaras projek-projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat negeri tahun ini.Menurut
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Sabah telah membuat pindaan ke atas Ordinan Tanah Sabah Bab 68 dengan memasukkan peruntukan perundangan berkaitan penyimpanan karbon yang mula berkuat kuasa sejak 19 Jun 2023.
“Selain itu, Sabah juga baru sahaja menyelesaikan kajian inventori Greenhouse Gas (GHG) Sabah dan penilaian kerentanan untuk pembangunan Dasar Perubahan iklim
Sabah ke arah pembangunan rendah karbon Sabah.
“Inisiatif CCUS juga selaras dengan iltizam Kerajaan Negeri dalam menangani isu perubahan iklim dan merealisasikan agenda teknologi hijau negara, serta sumbangan wilayah Sabah kepada komitmen negara merealisasikan “Nationally Determined Contributions (NDCs),” katanya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Datuk Kitingan.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil maklum Draf Rang Undang-Undang (RUU) CCUS sedang digubal di peringkat kerajaan persekutuan dan percaya semua pihak berkepentingan termasuklah kementerian persekutuan, pemain-pemain industri dan kerajaan negeri dilibatkan dalam menyediakan RUU yang komprehensif.
“Terdapat sembilan mesej utama untuk diketengahkan dalam pelan komunikasi mengenai inisiatif CCUS di Malaysia, merangkumi aspek manfaat ekonomi perlindungan alam sekitar, kesiapsiagaan dan teknikal.
“Inisiatif CCUS adalah selamat, diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai Aspirasi Bersih Sifar pada tahun 2050. CCUS mengurangkan impak perubahan iklim, pengurusan risiko CCUS melalui penggubalan perundangan dan peraturan yang komprehensif dan pengawalseliaan aktiviti yang berkesan.
“CCUS membantu Sektor Hard-To-Abate Tempatan bagi menangani Pelepasan Gas Karbon Dioksida, mengurangkan kos penyahkarbonan bagi Sektor Hard-To-Abate Tempatan. Malaysia berpotensi menjadi Hab Serantau CCUS dan ia mendorong pertumbuhan CCUS meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia,” ujarnya.
Hajiji turut berharap menerusi kerjasama daripada Kementerian Ekonomi untuk memastikan input daripada negeri Sabah diambil kira bagi memastikan Sabah tidak tertinggal dalam inisiatif CCUS.
“Kerajaan Negeri melalui kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah yang berkaitan akan memberikan kerjasama sepenuhnya memberikan input yang diperlukan dalam pelaksanaan inisiatif CCUS,” tambah beliau.
Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Malaysia bersama Kerajaan Negeri Sabah Mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pemerangkapan Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (Carbon Capture, Utilisation And Storage-CCUS) di Malaysia itu berlangsung Menara Kinabalu, pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Datuk Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong; Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa. -Penerangan-



