Tun Musa (empat dari kiri) di iringi Hajiji ( tiga dari kiri) dan Arifin (lima dari kanan) menyampaikan replika baucar Umrah kepada Johan Qari
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus komited mempertingkatkan pengajian Al-Quran untuk melahirkan lebih ramai huffaz di masa akan datang.Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, langkah itu bukan sekadar ingin melahirkan lebih ramai huffaz, akan tetapi menjurus ke arah membina generasi pencinta Al-Quran yakni golongan yang diharapkan sebagai pejuang tamadun bangsa berlandaskan prinsip-prinsip ajaran Al-Quran.
“Inisiatif yang sedang diusahakan antaranya ialah meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar institut tahfiz negeri sehingga 300 pelajar untuk masa akan datang.
“Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik bagi menampung usaha mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.
“Ini termasuklah membaik pulih sekolah-sekolah yang serba daif, selain meninjau kemungkinan membina sekolah-sekolah baharu di kawasan yang strategik untuk menampung keperluan semasa agar sesuai dengan bilangan murid yang semakin meningkat tahun ke tahun,”katanya
semasa Мajlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1446H/2025M di Dewan Saadah,Wisma MUIS disini, pada Ahad.
MTHQ Peringkat Negeri Sabah
disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan turut diserikan dengan kehadiran Toh Puan Faridah Tussin.
Tambah Hajiji, kerajaan juga terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan negeri ini, sejajar dengan dasar kerajaan seperti mana yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Bagi menyokong usaha itu, kerajaan telah menambah dana biasiswa kerajaan
Negeri Sabah (BKNS) daripada hanya RM51 juta kepada RM 128 juta pada tahun ini.
“Dengan pertambahan yang berlipat kali ganda itu,selain beberapa lagi insentif pendidikan yang lain, diharapkan lebih ramai anak Sabah berpeluang menerima bantuan kemudahan pendidikan, terutama mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara.I
ni termasuk jugalah pengajian dalam bidang agama ataupun pengajian islam,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim bin Haji Mohd Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Sabah merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong./Penerangan-