31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

SABAH PERKUKUH KESTABILAN DAN PEMBANGUNAN MASA HADAPAN MELALUI AGENDA SABAH MAJU JAYA 2.0: NIZAM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus menumpukan usaha memperkukuh kestabilan politik, perpaduan rakyat serta pembangunan masa hadapan negeri berlandaskan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030), kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Nizam Abu Bakar Titingan.

Dalam Ucapan Tahun Baharu 2026 hari ini, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, yang menurutnya mencerminkan pilihan rakyat terhadap kestabilan, kematangan politik serta hala tuju pembangunan yang jelas.

Beliau berkata, GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor, telah diamanahkan untuk menerajui Kerajaan Perpaduan Sabah, sekali gus memberi isyarat bahawa rakyat mahukan kesinambungan dasar, pentadbiran yang stabil dan kepimpinan berpaksikan kepentingan rakyat serta masa depan negeri.

“Sebagai Ahli Jemaah Menteri Sabah, saya melihat tahun 2026 sebagai permulaan fasa penting pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan memperkukuh tiga teras utama pembangunan negeri,” katanya.

Menurut beliau, teras pertama memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan ekonomi yang menjana hasil negeri merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; teras kedua memfokuskan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat; manakala teras ketiga menekankan peluasan jaringan infrastruktur yang lebih baik, mampan dan berteraskan kelestarian hijau.

Selaras dengan agenda itu, katanya, kementerian akan menumpukan kepada pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi melalui pembangunan kepimpinan, penguasaan kemahiran masa hadapan, inovasi serta pengukuhan semangat kesukarelawanan, agar golongan belia menjadi pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri.

Dalam bidang sukan, beliau berkata usaha memperkasa Sabah sebagai Negeri Sukan akan diteruskan secara holistik merangkumi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya dan sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Pada masa sama, katanya, pemerkasaan industri ekonomi kreatif akan dipergiat melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan, khususnya dalam sektor kreatif dan digital, bagi menjadikannya antara pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 secara berhemah dan berprinsip, selain memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI demi kepentingan rakyat.

Menjelang Tahun Baharu 2026, Nizam menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada kerajaan negeri, sambil menegaskan bahawa kejayaan membina Sabah yang lebih maju adalah tanggungjawab bersama.

“Semoga tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan berpanjangan dan kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah serta seluruh rakyatnya,” tambah beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN